liza28/10/2026 - 17:18 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt – Mitsubishi Materials Corporation (MMC), syarikat pengeluar logam dari Jepun, akan menghentikan operasi pemotongan dan jualan jalur tembaga serta aloi tembaga di anak syarikat milik penuhnya di Johor menjelang Mac 2027.
Keputusan itu membabitkan Ryoshindo Manufacturing Sdn Bhd (RM) yang menjadi pangkalan bekalan kumpulan itu untuk pasaran Asia Tenggara sejak penubuhannya pada 1995.
MMC berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha menyusun semula struktur pengeluaran dan bekalan bagi meningkatkan daya saing perniagaan produk tembaga dan aloi tembaga, selain mengoptimumkan penggunaan sumber pengurusan.
Syarikat itu sedang melaksanakan strategi pengurusan jangka sederhana bagi tahun kewangan 2027 hingga 2029 untuk memperkukuh daya saing perniagaan berkenaan dan mengoptimumkan portfolio perniagaannya.
Perubahan pasaran dorong penyusunan semula
MMC berkata persekitaran operasi Ryoshindo berubah dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan perubahan keadaan pasaran dan persaingan, selain sekatan eksport sisa logam yang semakin ketat di Malaysia.
“Susulan perkembangan itu, kumpulan menjalankan penilaian menyeluruh terhadap rangkaian bekalan dan strategi kitaran semula sumber sebelum memutuskan untuk menyusun semula fungsi pengeluaran serta logistic.
“Langkah itu dijangka meningkatkan daya saing, kecekapan modal dan nilai korporat dalam jangka sederhana hingga panjang,” kata MMC dalam satu kenyataan.
Bekalan diteruskan dari Jepun
Menerusi penyusunan semula itu, MMC akan mengurangkan inventori bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran dan penggunaan modal.
Bagaimanapun, bekalan jalur tembaga dan aloi tembaga akan diteruskan dari Kilang Wakamatsu di Aizuwakamatsu, wilayah Fukushima, Jepun.
Pengaturan itu membolehkan kumpulan berkenaan menyusun semula rangkaian pengeluaran dan logistiknya, sambil memastikan bekalan produk berkenaan diteruskan melalui kemudahan pengeluarannya di Jepun.
Sumber dialihkan kepada produk bernilai tambah tinggi
MMC berkata sumber dan kapasiti pengeluaran yang dibebaskan menerusi penyusunan semula itu akan dialihkan secara strategik kepada bidang pertumbuhan, termasuk aloi tembaga berprestasi tinggi, bahan untuk kenderaan elektrik (xEV) dan bahan untuk pusat data.
Perniagaan produk tembaga dan aloi tembaga turut memainkan peranan penting dalam usaha kumpulan itu menggalakkan kitaran penggunaan semula sumber menerusi pemprosesan semula sisa yang dihasilkan pelanggan serta pembangunan teknologi kitar semula aloi.
Sehubungan itu, MMC akan terus memperkukuh usaha dalam bidang berkenaan, khususnya bagi produk aloi tembaga bernilai tambah tinggi dan bahan yang digunakan dalam pusat data.
Bagaimanapun, kenyataan MMC tidak memperincikan jumlah pekerja yang terjejas, kos penyusunan semula atau status kemudahan Ryoshindo selepas operasi pemotongan dan jualan jalur tembaga serta aloi tembaga dihentikan.- DagangNews.com






