amree20/10/2026 - 11:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Okt — Kementerian Kewangan (MOF) memperbaharui perakuan pendaftaran sejumlah 10 agensi pelaporan kredit untuk tempoh setahun dari 15 September 2026 hingga 14 September 2027.
Dalam kenyataan, ia berkata pembaharuan itu dilaksanakan melalui Pejabat Pendaftar Agensi Pelaporan Kredit dengan perakuan dikeluarkan di bawah Seksyen 14 Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 (Akta 710).
Antaranya ialah CTOS Data Systems Sdn Bhd, Experian Information Services (Malaysia) Sdn Bhd, Credit Bureau Malaysia Sdn Bhd, Dun & Bradstreet (D&B) Malaysia Sdn Bhd dan FIS Data Reference Sdn Bhd.
Ujarnya, lima lagi agensi pelaporan kredit yang berdaftar tersebut ialah Omesti BI Sdn Bhd, CTOS Basis Sdn Bhd, MARC Data Sdn Bhd, Mydata Infomatica Sdn Bhd dan One Future Solutions Sdn Bhd.
"Selain daripada 10 agensi ini, pihak yang menjalankan perniagaan itu tanpa berdaftar daripada pejabat pendaftar, dianggap sebagai melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 11(2) Akta 710," jelas MOF.

Ia memberi peringatan, sekiranya disabitkan kesalahan, pihak berkenaan boleh dikenakan hukuman denda yang tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu tambahnya, orang ramai digalakkan merujuk kepada senarai agensi pelaporan kredit berdaftar bagi memastikan penyedia perkhidmatan digunakan termasuk dalam senarai yang diiktiraf MOF.
Pada masa sama, ia menggalakkan mana-mana pihak yang mempunyai aduan, pertanyaan, cadangan atau penghargaan berkaitan pelaporan kredit supaya menghubungi Pejabat Pendaftar Agensi Pelaporan Kredit.
Tegasnya, maklumat lebih lanjut mengenai perkara tersebut boleh diperoleh menerusi portal rasmi pejabat berkenaan iaitu https://ppapk.treasury.gov.my. - DagangNews.com






