liza05/11/2026 - 11:00 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov – Sasaran untuk menambah 500 pusat jualan baharu setiap tahun dalam tempoh tiga tahun akan datang dijangka memacu pertumbuhan Sorento Capital Berhad menerusi peluasan rangkaian pengedaran dan peningkatan capaian pasaran produk kelengkapan bilik mandi serta dapurnya.
TA Research berkata, Sorento kini mempunyai lebih 200 kedai perkakasan dalam rangkaian jualannya di seluruh negara yang meletakkan syarikat itu pada landasan untuk mencapai sasaran berkenaan.
Selain memperluas rangkaian pusat jualan, Sorento turut merancang memasuki kategori produk baharu pada 2027, termasuk hud dapur, dapur memasak dan ketuhar.
TA Research berpandangan peluasan kategori produk itu saling melengkapi rangkaian produk dapur sedia ada Kumpulan yang membuka ruang kepada Sorento untuk memperluaskan penawaran produknya.
Jualan berasaskan projek sokong pertumbuhan hasil
Dalam perkembangan berkaitan, Sorento mencatatkan keuntungan teras RM8.1 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27), meningkat 1.5% berbanding RM8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan turut meningkat 7.3% kepada RM47.3 juta daripada RM44.1 juta, disokong peningkatan jualan berasaskan projek yang mengimbangi penurunan jualan kepada pengedar.
Bagaimanapun, margin untung kasar susut 1.7 mata peratusan kepada 43.1% berikutan campuran jualan yang kurang menguntungkan serta pengukuhan mata wang China berbanding ringgit.
Pada asas suku ke suku, keuntungan teras merosot 3.1% berbanding RM8.4 juta pada suku keempat tahun kewangan 2026, terutamanya disebabkan penurunan hasil daripada jualan berasaskan projek.
Dalam suku berkenaan, Sorento turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 0.5 sen sesaham.
Margin untung kasar dijangka kekal melebihi 40%
Mengulas prospek, firma itu menjangkakan margin untung kasar Sorento bagi FY27 kekal melebihi 40%, dengan penurunan harga produk seramik bilik mandi dijangka mengimbangi kenaikan harga tembaga loyang global.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan sumbangan daripada rangkaian Sorento Lite, yang dilancarkan pada April 2026, tidak begitu ketara kepada pendapatan kumpulan bagi FY27.
Oleh itu, TA Research mengekalkan unjuran keuntungan bagi FY27 dan FY28 masing-masing pada RM34.7 juta dan RM39.2 juta.
Firma itu turut mengekalkan nilai saksama Sorento pada RM0.77 sesaham berdasarkan 18 kali anggaran keuntungan sesaham (EPS) tahun kalendar 2027, selain mengekalkan saranan 'Beli'. - DagangNews.com






