MRCB, syarikat milik PIF Arab Saudi meterai perjanjian bagi cadangan projek RM22.8 bilion di Makkah

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2026 • 1:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MRCB, syarikat milik PIF Arab Saudi meterai perjanjian bagi cadangan projek RM22.8 bilion di Makkah Image from: MRCB, syarikat milik PIF Arab Saudi meterai perjanjian bagi cadangan projek RM22.8 bilion di Makkah johardy29/09/2026 - 13:36 Duduk dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif RUA AlHaram AlMakki, Bambang Kajairi dan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim. Berdiri dari kiri: Ketua Bahagian Pelaburan Hartanah Tempatan PIF, Saad Abdulaziz AlKroud; Gabenor PIF, Yasir Othman Al-Rumayyan; Pengerusi MRCB, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif; dan Pengerusi MRCB Land Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Annuar Zaini, pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara RUA AlHaram AlMakki dan MRCB di Kuala Lumpur pada 29 Sept 2026. Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Sept - MRCB International Sdn Bhd dan RUA AlHaram AlMakki Company (RUA) memeterai perjanjian kerjasama untuk meneliti cadangan pembangunan berorientasikan pengangkutan di King Salman Gate, Makkah, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira SAR21 bilion (kira-kira RM22.8 bilion).

 

Cadangan pembangunan itu merangkumi terminal bas awam serta komponen kediaman, komersial dan peruncitan.

 

Kedua-dua pihak akan menilai bagaimana hab pengangkutan dan perkhidmatan sokongan dapat memudahkan perjalanan serta meningkatkan akses untuk jemaah dan pengunjung Makkah.

 

Nilai SAR21 bilion itu merupakan anggaran GDV, bukannya nilai kontrak yang telah dianugerahkan atau jumlah pelaburan yang telah dimuktamadkan. Projek tersebut masih tertakluk kepada usaha wajar, kelulusan, pembiayaan, perancangan fasa pembangunan dan perjanjian muktamad.

 

Menurut kenyataan mengenai kerjasama itu, kedua-dua pihak akan meneliti rangka kerja bagi pembangunan, pembiayaan dan pelaksanaan projek yang dicadangkan.

 

RUA ialah syarikat milik Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi dan pemaju induk King Salman Gate. Syarikat itu akan terus mengawasi hala tuju serta pelaksanaan pembangunan keseluruhan destinasi tersebut.

 

Pengalaman MRCB dalam hab pengangkutan

Kerjasama itu akan menilai penggunaan pengalaman MRCB dalam pembangunan berorientasikan transit dan hab pengangkutan bersepadu. Portfolio MRCB termasuk KL Sentral, hab pengangkutan bersepadu terbesar di Malaysia.

 

RUA berkata, perjanjian berkenaan turut membuka laluan kepada penyertaan pelabur dan pemaju antarabangsa dalam King Salman Gate.

 

Pembangunan itu bertujuan meningkatkan keupayaan Makkah untuk menerima jemaah dan pengunjung dari seluruh dunia, di samping memelihara warisan bandar tersebut.

 

Perjanjian itu ditandatangani di Kuala Lumpur oleh Ketua Pegawai Eksekutif RUA, Bambang Kajairi dan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim, dengan disaksikan wakil kanan PIF dan MRCB. - DagangNews.com

 

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved