johardy09/10/2026 - 17:54 Datuk Wira Mubarak Hussain bin Akhtar Husin dan Dato’ Seri Nazir Hussin bin Akhtar Hussin pada sidang akhbar baru-baru ini. Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt - Dua pengarah eksekutif Avangaad Berhad mengambil cuti sukarela daripada tugas eksekutif susulan siasatan berkaitan urusan perniagaan peribadi mereka, sementara penyedia perkhidmatan logistik marin itu menegaskan operasinya berjalan tanpa gangguan.
Datuk Wira Mubarak Hussain bin Akhtar Husin dan Dato’ Seri Nazir Hussin bin Akhtar Hussin memulakan cuti tersebut pada 8 Oktober, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Avangaad berkata, siasatan berkenaan melibatkan urusan perniagaan peribadi kedua-dua pengarah yang berasingan daripada urusan dan operasi kumpulan. Setakat ini, kumpulan belum dimaklumkan mengenai sebarang dapatan atau keputusan berhubung perkara tersebut.
Syarikat menyifatkan cuti itu sebagai langkah berjaga-jaga yang bersifat neutral dan bukan tindakan disiplin, serta tidak membawa maksud wujudnya dapatan atau pengakuan salah laku. Kedua-dua pengarah juga tidak mengambil bahagian dalam semua perbincangan berkaitan perkara itu.
Pengarah bebas akan mempertimbangkan sebarang langkah lanjut, termasuk aturan berkaitan peranan kedua-dua pengarah dalam lembaga pengarah, berdasarkan Dasar Kesesuaian dan Kelayakan kumpulan. Pengumuman kepada Bursa Malaysia akan dibuat mengikut keperluan.
Operasi harian terus diterajui Ketua Pegawai Eksekutif, Nasrul Asni Muhammad Dain bersama pasukan pengurusan kanan di bawah pengawasan berterusan lembaga pengarah. Operasi armada, pelaksanaan perkhidmatan sewaan kapal dan komitmen kepada pelanggan kekal berjalan mengikut perancangan, menurut syarikat itu.
Tempahan kontrak muktamad RM153.7 juta
Avangaad mempunyai tempahan kontrak muktamad bernilai RM153.7 juta setakat 30 Jun 2026, selain opsyen lanjutan kontrak bernilai RM262.1 juta.
Sekiranya opsyen tersebut dilaksanakan, jumlah potensi nilai kontrak akan mencapai RM415.8 juta. Bagaimanapun, lanjutan itu masih tertakluk kepada pelaksanaan opsyen oleh pelanggan dan tidak termasuk dalam tempahan kontrak muktamad.
Lembaga pengarah berkata, langkah yang diambil bertujuan melindungi dana, aset, kemudahan pembiayaan dan kontrak pelanggan kumpulan, selain mengelakkan konflik kepentingan yang berpotensi berlaku atau dianggap wujud.
Sebarang implikasi terhadap Avangaad akan dinilai berdasarkan maklumat yang disahkan, tanpa membuat kesimpulan awal mengenai skop, asas atau hasil siasatan. Kumpulan turut menegaskan dasar toleransi sifar terhadap rasuah.
Avangaad menyediakan perkhidmatan logistik marin serta memiliki dan mengendalikan kapal bagi sektor minyak dan gas, termasuk kapal tunda, kapal tangki petroleum, kapal penyimpanan luar pesisir dan bot kru berkelajuan tinggi.
Kumpulan turut menjalankan perniagaan pembinaan kapal, pembaikan dan fabrikasi. Lembaga pengarah akan terus menilai perkembangan semasa sambil mengekalkan pengawasan aktif terhadap operasi kumpulan. - DagangNews.com





