'Muhammad Idlan selalu cakap semua okay di sekolah...' - Bapa saudara

26 Sep 2026 • 2:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Muhammad Idlan selalu cakap semua okay di sekolah...' - Bapa saudara
Kamaruddin menunjukkan gambar anak saudaranya bersama ibu bapa ketika ditemui media di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban pada Sabtu
Image from: 'Muhammad Idlan selalu cakap semua okay di sekolah...' - Bapa saudara
Muhammad Idlan Fareeq ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebelum disahkan meninggal dunia di HTAN pada Jumaat malam.

SEREMBAN - Seluruh keluarga Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril masih terkejut dan berdukacita dengan pemergian remaja itu yang disifatkan sebagai seorang anak yang pendiam, tenang serta tidak pernah mencari masalah dengan sesiapa.

ARTIKL BERKAITAN: Pelajar lelaki ditemui meninggal dunia di asrama sekolah dipercayai dibuli

Pelajar meninggal dunia di asrama: Pemimpin politik desak siasatan segera dakwaan buli

Pelajar meninggal dunia di asrama: Fadhlina sahkan seorang pelajar ditahan

Pelajar meninggal dunia di asrama: Polis siasat kes bunuh, tahan remaja 16 tahun

Bapa saudara mangsa, Kamaruddin Ngatimon, 49, berkata, pemergian anak saudaranya itu meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga kerana Allahyarham dikenali sebagai seorang yang baik dan penyayang.

Menurutnya, Muhammad Idlan yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik sentiasa mengambil berat serta menyayangi adik-adiknya.

“Setiap kali outing atau pulang ke rumah, dia mesti telefon saya untuk minta dibawa membeli barang keperluan sekolah.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya kira-kira tiga bulan lalu dan apabila ditanya, dia hanya memberitahu semuanya dalam keadaan ‘okay’ di sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja'afar di sini.

Hadir sama sama menziarahi keluarga mangsa ialah Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Beliau dalam satu kenyataan turut merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian pelajar berkenaan dan seluruh warga KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham

Dalam pada itu Kamaruddin berkata, keluarga tidak menyangka pertemuan itu menjadi antara kenangan terakhir bersama Allahyarham.

Dalam pada itu, beliau berharap siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan keadilan diberikan kepada Allahyarham.

“Sebagai keluarga, kami berharap pembelaan dan keadilan sewajarnya dapat diberikan kepada Allahyarham.

“Jika ada pihak yang didapati bersalah berhubung kejadian ini, kami berharap tindakan dan hukuman setimpal dapat dikenakan,” katanya.

**media[3659376]**

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, satu kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, di sebuah asrama sekolah menengah di Kuala Pilah semalam.

Susulan kejadian itu katanya, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam Jumaat di sebuah asrama sekolah menengah kebangsaan di daerah Kuala Pilah.

"Polis sedang meneliti semua fakta dan bukti bagi menentukan punca dan motif sebenar kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah, sebelum disahkan meninggal dunia.

Alzafny berkata, polis memandang serius sebarang kejadian keganasan yang melibatkan pelajar, khususnya kejadian yang mengakibatkan kehilangan nyawa.

Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau menularkannya sehingga boleh menjejaskan siasatan serta privasi keluarga pelajar yang terlibat.

"Keutamaan pihak polis adalah untuk memastikan siasatan dijalankan secara profesional, menyeluruh dan berdasarkan bukti bagi memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya.

Alzafny berkata, suspek kini direman enam hari bermula hari ini.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved