Utamakan penyatuan Pas dan UMNO

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 6:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Utamakan penyatuan Pas dan UMNO

KANGAR: Pas perlu menjadikan usaha penyatuan dengan UMNO sebagai keutamaan demi memperkukuh kepentingan Islam dan negara.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, benih paling baik menyuburkan Islam di negara ini adalah dengan penyatuan Pas dan UMNO.

“Saya melihat kesedaran kepada penyatuan itu (Pas dan UMNO) semakin baik dan usaha tersebut perlu diteruskan. Pas sejak daripada dulu tidak pernah berhenti berjuang ke arah merealisasikan penyatuan tersebut.

“Perpecahan antara UMNO dan Pas sudah berlarutan terlalu lama sehingga turut memberi kesan di peringkat akar umbi. Sudah tiba masanya dua parti itu kembali bersatu demi kepentingan Islam dan juga negara.

“Saya menyeru kepemimpinan Pas di peringkat pusat memberi keutamaan ke arah penyatuan Pas dan UMNO. Tidak guna kita terus berpecah dan rakyat Malaysia sememangnya sudah terlalu lama menantikan penyatuan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Seruan Hashim itu hadir selepas beberapa bulan beliau berehat ekoran keuzuran dan kini tahap kesihatan pemimpin tertinggi Pas itu semakin baik.

Pada minggu lalu, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama kepemimpinan UMNO negeri turut meluangkan masa menziarahi Hashim.

Muktamar Pas Kali Ke-72 di dijadual bermula 4 sehingga 5 September di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa dijangka menarik perhatian khususnya berkaitan soal kerjasama Pas dan UMNO.

Malah, UMNO akan menghantar wakil ke Muktamar Pas sekali gus menguatkan lagi bibit-bibit ke arah penyatuan.

Sementara itu, Hashim memaklumkan beliau tidak dapat hadir ke muktamar kali ini atas faktor kesihatan, namun akan memantau perjalanan muktamar melalui media sosial.

“Saya sememangnya bersemangat untuk hadir namun atas nasihat doktor dan ahli keluarga berikutan perjalanan agak jauh dan sesak di Kelantan, saya membatalkan hasrat tersebut.

“Sejak 1969 lagi, saya tidak pernah sekali pun ketinggalan menghadiri muktamar cuma tahun ini sahaja tidak dapat hadir atas faktor kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil berkata, kerjasama Pas dan UMNO akan membentuk satu kuasa penyatuan Melayu Islam yang kuat di Malaysia.

Katanya, kerjasama Pas dan UMNO bukan dilihat daripada segi politik semata-mata sebaliknya ia juga adalah tuntutan agama.-UTUSAN

The post Utamakan penyatuan Pas dan UMNO appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved