
GUA MUSANG: Dua penjawat awam dicekup selepas disyaki berkhalwat di pejabat mereka di bangunan Wisma Kerajaan di sini, petang semalam.
Menurut sumber, lelaki dan wanita itu ditahan kira-kira pukul 4 petang selepas berada dalam keadaan berdua-duaan di dalam pantri di pejabat jabatan berkenaan.
Sumber itu berkata, mereka dipercayai berada di dalam pantri tersebut dengan pintu berkunci sehingga anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan terpaksa membuka pintu secara paksa.
“Apabila pintu dibuka, salah seorang daripada mereka cuba melarikan diri ke bilik pejabatnya, namun sempat dilihat anggota penguat kuasa yang berada di lokasi.
“Difahamkan, tindakan mereka itu sebelum ini turut diperhatikan oleh kakitangan lain apabila dipercayai sering masuk berdua ke pantri tanpa alasan yang jelas sejak kira-kira tiga bulan lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini. – UTUSAN
The post Penjawat awam dicekup khalwat dalam pantri pejabat appeared first on Utusan Malaysia.





