
GURUN: Seorang murid lelaki tahun enam maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh sebuah lori di Jalan Gurun-Jeniang berdekatan lampu isyarat Batu 3, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa yang berusia 12 tahun mengalami kecederaan parah pada badan dan paha serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, pembonceng motosikal yang merupakan pelajar lelaki tingkatan dua hanya mengalami calar pada tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku ketika lori tersebut bergerak perlahan untuk berhenti.
“Pemandu lori kemudian dikatakan mengelak ke laluan susur kiri setelah mendapati sebuah kereta di hadapan berhenti secara mengejut apabila lampu isyarat merah.
“Dia kemudian mendengar bunyi dentuman dari arah belakang sebelum mendapati sebuah motosikal melanggar sisi belakang sebelah kiri lori berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, seorang mangsa didapati tersepit pada tayar belakang sebelah kiri, manakala seorang lagi mangsa terjatuh di atas jalan raya bersebelahan lori.
“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pembonceng tidak menerima rawatan kerana hanya mengalami luka dan calar pada tangan dan kaki,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar ketika kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN
The post Murid tahun enam maut motosikal rempuh lori appeared first on Utusan Malaysia.






