Negeri Sembilan kekalkan cukai pintu kediaman, rakyat tidak dibebani lima tahun

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 3:45 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Negeri Sembilan kekalkan cukai pintu kediaman, rakyat tidak dibebani lima tahun

SEREMBAN – Pemilik kediaman di Negeri Sembilan boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri memutuskan untuk mengekalkan kadar cukai pintu kediaman tanpa sebarang kenaikan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu mengambil kira kemampuan dan kepentingan rakyat yang perlu menanggung bayaran cukai berkenaan.

Katanya, walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini telah menjalankan kajian berkaitan kadar cukai pintu, kerajaan negeri memilih untuk tidak menaikkannya selaras dengan komitmen yang digariskan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

“Pihak berkuasa tempatan sebelum ini menjalankan kajian berkaitan cukai pintu, namun keputusan Exco pada hari ini menetapkan tiada kenaikan cukai pintu kediaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Menurut Ismail, semua pemilik kediaman tetap bertanggungjawab membayar cukai pintu, namun kerajaan negeri tidak mahu peningkatan kadar bayaran itu menambah beban kewangan rakyat.

“Semua pemilik kediaman perlu membayar cukai pintu dan kerajaan negeri tidak mahu membebankan rakyat dengan kenaikan cukai berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail memaklumkan Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-16 akan berlangsung pada 18 Ogos ini.

Persidangan khas berkenaan antara lain bagi memilih Speaker dan Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan.

Katanya, Speaker yang bakal dilantik lazimnya bukan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), manakala jawatan Timbalan Speaker akan diisi oleh seorang ADUN.

“Speaker yang akan dilantik nanti kebiasannya bukan dalam kalangan Yang Berhormat (Ahli Dewan Undangan Negeri), manakala Timbalan Speaker dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya.

The post Negeri Sembilan kekalkan cukai pintu kediaman, rakyat tidak dibebani lima tahun appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved