SKA Capital lancar prospektus IPO, sasar raih RM103.4 juta pada harga 43 sen sesaham

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 2:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SKA Capital lancar prospektus IPO, sasar raih RM103.4 juta pada harga 43 sen sesaham Image from: SKA Capital lancar prospektus IPO, sasar raih RM103.4 juta pada harga 43 sen sesaham amree20/10/2026 - 14:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt – SKA Capital Berhad melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) dengan menyasarkan untuk meraih sebanyak RM103.4 juta pada harga 43 sen sesaham menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 11 November 2026.

 

Menurut kenyataan kumpulan tersebut, daripada jumlah itu, sebanyak RM72.3 juta akan diperoleh syarikat menerusi terbitan 168.08 juta saham baharu, manakala baki RM31.13 juta melibatkan tawaran jualan 72.4 juta saham sedia ada oleh pemegang saham.

 

IPO itu membabitkan 44.78 juta saham untuk orang awam, 8.96 juta saham bagi pengarah, pekerja dan individu yang layak, 111.94 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera diluluskan kerajaan serta 2.41 juta saham ke atas pelabur terpilih.

 

"Berdasarkan unjuran modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 895.5 juta saham, SKA Capital dijangka memiliki permodalan pasaran mencecah sekitar RM385.1 juta selepas disenaraikan. Permohonan IPO ini dijadual ditutup pada 27 Oktober 2026," katanya.

 

Syarikat berkenaan merupakan penyedia rumusan kejuruteraan infrastruktur tenaga yang menawarkan perkhidmatan kejuruteraan pencawang elektrik, termasuk kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), kerja kejuruteraan awam dan struktur.

 

Ia turut menyedikan kejuruteraan elektrik dan mekanikal serta utiliti bawah tanah, perdagangan peranti elektrik, peralatan elektrik dan bahan binaan. TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan.

 

SKA_DagangNews2026

 

Sejak ia memulakan operasi pada 2009, SKA Capital sudah membina pengalaman sekitar 17 tahun dalam pelaksanaan banyak projek infrastruktur tenaga di Semenanjung Malaysia, melalui anak syarikat milik 70%, Reltency Engineering Services Sdn Bhd.

 

"Kumpulan ini turut mengembangkan keupayaan untuk melaksanakan projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) secara langsung sebagai kontraktor utama. Pertumbuhan hasil naik daripada RM44.4 juta pada tahun kewangan berakhir 2023 (FY23) kepada RM241.4 juta pada FY25.

 

Setakat 21 September 2026, kumpulan itu mempunyai buku tempahan belum dilaksanakan bernilai RM313.4 juta, disokong projek kejuruteraan pencawang elektrik dan utiliti bawah tanah. Ia menyasarkan kontrak lebih besar, bagi menambah nilai pesanan serta pangkalan pelanggan.

 

Ujar SKA Capital, daripada hasil terbitan saham baharu, sebanyak RM32.72 juta diperuntukkan untuk modal kerja, RM21 juta bagi memenuhi keperluan bon pelaksanaan projek masa hadapan dan RM12.05 juta untuk pembelian mesin serta peralatan. 

 

Pengarah Urusannya, Datuk Subas Kumar Ambairam berkata, IPO itu akan memperkukuh kedudukan kewangan dan keupayaan pelaksanaan kumpulan, sekali gus membolehkannya membida projek infrastruktur yang lebih besar serta melaksanakan beberapa kontrak secara serentak.

 

"Pelaburan berterusan dalam infrastruktur elektrik negara, termasuk perbelanjaan modal TNB sebanyak RM18 bilion bagi 2026 dan pelaburan RM15 bilion untuk memperkukuh grid elektrik negara di bawah Belanjawan 2027, dijangka membuka peluang kepada kumpulan," katanya.

 

SKA Capital berharap dapat memanfaatkan permintaan yang meningkat susulan pembangunan pusat data (DC), pertumbuhan penggunaan elektrik dan integrasi tenaga boleh diperbaharui (RE) bagi menyokong pertumbuhan perniagaan selepas penyenaraian. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved