Nilai strategik Vantage RE melangkaui sumbangan kewangannya kepada TNB, menurut MBSB Research

LocalBusiness & Finance
7 Aug 2026 • 12:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nilai strategik Vantage RE melangkaui sumbangan kewangannya kepada TNB, menurut MBSB Research Image from: Nilai strategik Vantage RE melangkaui sumbangan kewangannya kepada TNB, menurut MBSB Research hamden07/08/2026 - 12:12 Loji ladang angin Vantage RE Whiteside Hill. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Vantage RE Ltd, syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) milik penuh Tenaga Nasional Bhd. (TNB) di United Kingdom memainkan peranan strategik dalam memperkukuh keupayaan operasi dan teknikal syarikat utiliti nasional tersebut bagi menghadapi fasa peralihan tenaga negara, menurut MBSB Research.

 

Menurut firma penyelidikan berkenaan, selain menyumbang kepada prestasi kewangan, Vantage RE membolehkan TNB memperoleh pengalaman secara langsung dalam pengurusan teknologi penjanaan tenaga moden serta sistem pasaran elektrik yang lebih matang dan berasaskan pasaran di UK.

 

Pendedahan itu meliputi operasi dalam pasaran tenaga elektrik dagangan (merchant power), pelaksanaan Perjanjian Pembelian Tenaga Korporat (CPPA), integrasi tenaga boleh diperbaharui, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), fleksibiliti grid serta strategi penyahkarbonan.

 

Menurut firma penyelidikan itu lagi, pengalaman yang diperoleh menerusi operasi Vantage RE dijangka menjadi aset penting kepada TNB apabila sektor tenaga Malaysia terus berkembang ke arah pasaran yang lebih kompetitif serta menyaksikan peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

 

"Walaupun TNB International Sdn. Bhd. (TNBI), yang diterajui oleh Vantage RE dan Spark Renewables, hanya menyumbang kira-kira 2.2% kepada EBITDA TNB bagi tahun kewangan 2025 (FY2025), nilai strategik platform itu jauh melangkaui sumbangan kewangannya," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham TNB dengan harga sasaran RM16.40 sesaham berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF).

 

Menurut MBSB Research, operasi Vantage RE di UK memberi pendedahan kepada TNB dalam pasaran tenaga boleh diperbaharui yang lebih matang, sekali gus melengkapkan strategi jangka panjang kumpulan untuk muncul sebagai peneraju peralihan tenaga di Malaysia.

 

Di peringkat domestik, pelaksanaan Tempoh Regulatori Keempat (RP4) melalui mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) turut dijangka meningkatkan kestabilan pendapatan TNB dengan menghapuskan kelewatan pemulihan kos bahan api, sekali gus mengurangkan risiko turun naik harga bahan api.

 

Dalam masa sama, permintaan elektrik negara dijangka terus berkembang dengan unjuran pertumbuhan sekitar 5.4% pada tahun kalendar 2026, disokong peningkatan aktiviti ekonomi dan pembangunan pusat data.

 

"Kami terus melihat TNB sebagai antara penerima manfaat utama dan pemacu kepada peralihan tenaga negara, disokong oleh peningkatan perbelanjaan modal grid yang dikawal selia, keperluan BESS yang semakin berkembang serta peluang besar dalam tenaga boleh diperbaharui menerusi inisiatif seperti Hybrid Hydro Floating Solar (HHFS)." katanya

 

Portfolio Vantage RE 1.3 GW

Mengenai lawatan teknikal ke UK, MBSB Research berkata, pihaknya telah dibawa melawat dua aset utama di bawah Vantage RE iaitu ladang angin darat Whiteside Hill dan ladang solar Eastfields.

 

Kedua-dua aset itu merupakan sebahagian daripada portfolio operasi Vantage RE berkapasiti 908.5 megawatt (MW) di UK dan Ireland yang merangkumi 743MW tenaga solar, 124MW tenaga angin darat serta 41.5MW tenaga angin luar pesisir.

 

Secara keseluruhan, Vantage RE menguruskan portfolio hampir 1.3 gigawatt (GW), termasuk saluran pembangunan 360MW yang terdiri daripada projek BESS dan ladang angin darat.

 

"Lebih 60% hasil Vantage RE disokong kontrak jangka panjang seperti Renewable Obligation Certificates (ROC), Feed-in Tariff (FiT), Contract for Difference (CfD) dan CPPA, manakala lebih separuh daripada hasil syarikat dijangka berkait secara langsung dengan kadar inflasi pada 2026," katanya.

 

Saluran Pembangunan

Selain aset operasi sedia ada, Vantage RE turut mempunyai saluran pembangunan berkapasiti 360 megawatt (MW) yang bakal menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang kepada platform tenaga boleh diperbaharui milik TNB itu.

 

Saluran pembangunan tersebut merangkumi 12 projek sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dengan kapasiti keseluruhan 245MW, serta tiga projek ladang angin darat berkapasiti 114.6MW.

 

"Pengurusan Vantage RE memaklumkan sebahagian besar projek dalam tempoh terdekat telah memperoleh keperluan asas termasuk hak tanah, sambungan grid dan kelulusan perancangan, sekali gus mengurangkan risiko pelaksanaan apabila projek memasuki fasa pembangunan.

 

"Salah satu projek ladang angin darat berkapasiti 21.6MW turut berjaya memperoleh kelulusan di bawah Contract for Difference Allocation Round 6 (CfD AR6), yang menyediakan mekanisme hasil lebih stabil dalam jangka panjang," katanya.

 

Bagaimanapun MBSB Research berkata, projek-projek berkenaan dijangka hanya memberikan sumbangan material kepada prestasi kewangan Vantage RE dalam tempoh lebih panjang.

 

Projek tenaga angin dijangka memasuki fasa pembinaan sekitar 2029, manakala pembangunan portfolio BESS pula disasarkan bermula sekitar 2031, tertakluk kepada kelulusan akhir berkaitan pembangunan, kapasiti grid dan keputusan pelaburan.

 

Menurut MBSB Research, saluran pembangunan tersebut lebih mencerminkan pilihan pertumbuhan strategik (long-term growth optionality) kepada Vantage RE berbanding pemacu pendapatan utama dalam tempoh terdekat.

 

Namun, pelaburan dalam kapasiti penyimpanan tenaga dan penjanaan tenaga boleh diperbaharui itu dilihat penting bagi memperkukuh kedudukan TNB dalam ekosistem tenaga masa hadapan, khususnya ketika keperluan fleksibiliti grid dan integrasi tenaga bersih semakin meningkat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved