HASRAT skuad sepak takraw negara membuka kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan kekuatan terbaik sedikit terjejas selepas perejam negara, Muhammad Noraizat Mohd Nordin disahkan tidak dapat beraksi akibat kecederaan betis kanan.
Noraizat mengalami kecederaan ketika menjalani latihan pada pagi Sabtu, sekali gus memaksa Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengambil langkah segera bagi mendapatkan pemain pengganti.
PSM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sudah mengemukakan permohonan pertukaran pemain kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) melalui Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Muhammad Shahalril Aiman Halim dipilih untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Noraizat dalam skuad negara.
“PSM sudah mengemukakan permohonan pertukaran pemain kepada OCA melalui MOM.
“Muhammad Shahalril Aiman Halim dinamakan sebagai pemain pengganti bagi mengisi tempat Noraizat dalam skuad negara,” menurut kenyataan itu.
Pertukaran berkenaan berlaku sehari sebelum skuad negara memulakan saingan acara regu berpasukan, sekali gus memberi sedikit perubahan kepada persiapan akhir pasukan.
PSM berharap proses pertukaran pemain itu dapat diselesaikan dengan lancar bagi membolehkan Shahalril menyertai skuad negara mengikut jadual pertandingan.
Dalam masa sama, badan induk itu mendoakan Noraizat segera pulih daripada kecederaan dan dipermudahkan segala urusannya.
Kehilangan Noraizat pastinya dirasai pasukan negara yang hadir ke temasya kali ini dengan sasaran untuk memburu pingat emas.
Skuad sepak takraw negara dijadual memulakan kempen Kumpulan B pada Ahad dengan berdepan tuan rumah, Jepun.
Malaysia kemudian akan menentang Filipina pada Isnin sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang India pada Selasa.
Dua pasukan terbaik kumpulan akan meneruskan saingan ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada Khamis, manakala final keesokkannya.






