
SKUAD sepak takraw negara waspada terhadap sebarang kemungkinan berdepan kekangan logistik di temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan memilih untuk bergerak lebih awal ke venue pertandingan bagi mengelak sebarang gangguan tidak diingini.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Ahmad Jais Baharun berkata, ketiadaan pengangkutan khusus yang dikhaskan secara terus ke venue memaksa pasukannya lebih peka dan berdisiplin dalam merencana jadual pergerakan harian menjelang aksi pembukaan acara berpasukan lelaki yang berlangsung esok.
Jelasnya, kontinjen negara yang menginap di atas kapal persiaran Costa Serena perlu menaiki bas untuk ke venue pertandingan di Gimnasium Nagoya City Mizuho Park yang memakan masa perjalanan kira-kira 30 minit.
“Dari aspek logistik, kita akan bergerak lebih awal bagi memastikan tiada masalah timbul kerana tiada pengangkutan khas buat pasukan negara terus ke stadium. Perlawanan akan berlangsung pada pukul 9 pagi, jadi kita perlu waspada dengan segala kemungkinan dan tiba lebih awal ke venue bagi mengelak sebarang masalah.
“Kita akan memastikan atlet negara akan turun awal untuk menaiki bas perantara yang disediakan oleh pihak penganjur. Pasukan negara dijadualkan menjalani sesi menguji gelanggang hari ini dan esok,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menyentuh mengenai persiapan di dalam gelanggang dan strategi peringkat kumpulan acara berpasukan, Ahmad Jais memaklumkan, mereka menggunakan analisis data daripada saingan Piala Raja Thai dan Piala Dunia yang disertai sebelum ini.
Beliau menjelaskan bahawa barisan regu utama skuad negara sudah pun dikenal pasti, namun susunan akhir pemain hanya akan diputuskan pada hari perlawanan mengikut keperluan taktikal.
“Ketika ini, pasukan sedang melakukan persiapan terbaik terutamanya bagi menghadapi perlawanan pembukaan Kumpulan B menentang India, Filipina dan Jepun,” katanya.
The post Sukan Asia: Skuad takraw negara perlu peka appeared first on Kosmo Online.






