Sukan Asia: Noraizat cedera, Shahalril Aiman ‘terbang’ ke Nagoya

19 Sep 2026 • 2:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Asia: Noraizat cedera, Shahalril Aiman ‘terbang’ ke Nagoya

KUALA LUMPUR – Kem sepak takraw negara menerima tamparan hebat menjelang aksi pembukaan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila perejam utama, Noraizat Nordin disahkan mengalami kecederaan otot betis kanan ketika sesi latihan terakhir, hari ini.

Susulan insiden itu, pengurusan pasukan bertindak pantas memanggil perejam negara, Shahalril Aiman bagi mengisi kekosongan berkenaan dan pemain terbabit dijadualkan berlepas ke Jepun malam ini.

Ketua jurulatih skuad negara, Ahmad Jais Baharun mengesahkan perkara berkenaan sambil menjelaskan kecederaan itu berlaku secara tiba-tiba ketika Noraizat sedang bersedia melakukan libasan pada sesi latihan pagi tadi,

“Pagi tadi sewaktu sesi latihan terakhir, Noraizat mengalami kecederaan otot betis kanan yang tertarik semasa hendak melompat bagi melakukan rejaman.  Kebetulan pasukan perubatan kontinjen kita memang berada di venue pertandingan dan rawatan awal telah pun diberikan dengan segera,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Mengulas mengenai penggantian pemain, Ahmad Jais optimis proses pertukaran itu tidak akan berdepan sebarang halangan besar memandangkan nama Shahalril sudah disenaraikan dalam senarai panjang pendaftaran kontinjen sebelum ini.

Jelasnya, pihak sekretariat kini sedang giat menguruskan proses dokumentasi rasmi pertukaran nama tersebut bersama pihak penganjur temasya.

“Sepatutnya tiada masalah untuk urusan pertukaran ini kerana nama Shahalril memang sudah ada dalam senarai panjang. Ketika ini pihak pengurusan sedang memproses urusan pertukaran nama berkenaan.

“Malam ini juga akan berlangsung mesyuarat pengurus pasukan, jadi kita akan ketengahkan dan maklumkan perkara ini secara rasmi dalam mesyuarat tersebut,” jelasnya.

Menurut Ahmad Jais lagi, Shahalril dijadualkan berlepas dari tanah air jam 8 malam ini dan dijangka tiba di Nagoya pada pagi esok, tepat pada masanya menjelang aksi acara berpasukan lelaki. -KOSMO! ONLINE

The post Sukan Asia: Noraizat cedera, Shahalril Aiman ‘terbang’ ke Nagoya appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved