
HUBUNGAN ibu dan anak tidak selalunya melalui jalan yang mudah. Ada ketika kasih sayang hanya mampu disampaikan melalui doa, walaupun jarak dan keadaan membuatkan segalanya terasa berbeza.
Bersempena ulang tahun kelahiran anak sulungnya, Ayu Nazirah yang ke-28, penyanyi Nourul Depp menitipkan pesanan penuh makna buat insan yang terlebih dahulu mengajarnya tentang erti menjadi seorang ibu.
Menerusi hantaran di akaun Threads miliknya, penyanyi berusia 49 tahun itu mengimbas kembali detik ketika melahirkan Ayu pada usia 21 tahun.

Menurut Nourul, ketika itu dia masih muda dan dalam proses memahami kehidupan, namun kehadiran anak perempuannya itu sentiasa dianggap sebagai antara nikmat terbesar dalam hidupnya.
“Selamat ulang tahun kelahiran ke-28, Ayu Nazirah.
“Saya berusia 21 tahun ketika melahirkan kamu. Saya masih muda dan masih belajar memahami kehidupan, tetapi memiliki kamu sentiasa menjadi antara nikmat terbesar dalam hidup saya.
“Kamu anak sulung saya, anak perempuan yang saya impikan. Entah bagaimana, kita membesar bersama melalui begitu banyak fasa kehidupan,” tulisnya.
Bagi Nourul, pertambahan usia bukan sekadar soal menjadi lebih dewasa, sebaliknya perjalanan untuk mengenali diri sendiri dan belajar daripada setiap pengalaman yang dilalui.

“As you turn 28, my wish for you is simple: that you grow wiser. Not just older,” katanya.
Dalam hantaran sama, pelantun lagu Cinta Azali itu turut mendoakan agar Ayu terus dikurniakan ketenangan, kejelasan dan kebijaksanaan dalam menjalani kehidupan.
Nourul juga mengakui mungkin tidak sentiasa memahami setiap pilihan yang dibuat anaknya, namun dia tetap meraikan hari Ayu hadir dalam hidupnya.
“Saya mungkin tidak sentiasa memahami setiap pilihan yang kamu buat, tetapi saya tetap meraikan hari kamu hadir dalam hidup saya.
“Semoga tahun ini membawa ketenangan, kejelasan dan kebijaksanaan buat kamu. Dan semoga kamu sentiasa ingat bahawa menjadi ibu kamu akan sentiasa menjadi antara nikmat terbesar dalam hidup saya,” ujarnya.
Lebih menyentuh hati, Nourul turut berkongsi bahawa dirinya kini memilih untuk melepaskan segala yang tidak mampu dikawal dan menyerahkan urusan tersebut kepada ALLAH SWT.
“Sudah tiada air mata kerana saya sudah melepaskan. ALLAH ada. Serahkan kepada-NYA. Kerana DIA ada cara untuk mengajar dan membesarkan kita.
“Doakan yang baik-baik,” tulisnya.
Hantaran berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi warganet yang rata-rata tersentuh dengan luahan hati Nourul sebagai seorang ibu.
Ada yang berkongsi pandangan bahawa seorang ibu tidak mungkin melupakan tarikh kelahiran anak-anaknya, manakala sebahagian lagi menitipkan doa agar hubungan ibu dan anak itu kembali erat dengan izin ALLAH SWT.

“Seorang ibu tidak pernah melupakan tarikh keramat melahirkan setiap anak.”
Seorang lagi warganet turut berkongsi kenangan melihat Ayu ketika masih kecil dan menyifatkan kasih seorang ibu sebagai sesuatu yang kekal sepanjang hayat.
“Dia akan kembali kepada kamu apabila tiba masanya, dengan izin ALLAH SWT. Doa kamu sangat bermakna buatnya, walaupun mungkin dia tidak menyedarinya sekarang.
“Saya masih ingat kamu tersenyum bangga ketika Ayu berada di atas pentas, bermain piano mungkin. Dia sekitar lima tahun, kalau tidak silap. Kasih seorang ibu… sampai bila-bila.”
Dalam pada itu, ada juga yang berharap Ayu suatu hari nanti dapat memahami segala yang cuba disampaikan oleh ibunya.
“Suatu hari nanti, dia akan faham. Mungkin bukan hari ini atau esok, tetapi apabila dia sendiri menjadi seorang ibu, dia akan memahami semuanya.”
Tidak kurang yang melihat doa seorang ibu sebagai bentuk kasih sayang paling tulus, terutama ketika hubungan berdepan ujian.
“Selama mana anak menjauh, doa ibu tetap dekat. Moga doa-doa yang baik daripada seorang ibu sampai ke hati anak untuk kembali bertaut.”
Begitulah kasih seorang ibu. Walau apa pun yang berlaku, doa tetap menjadi ruang untuk menitipkan harapan, menyerahkan segala urusan kepada ALLAH SWT dan terus mengharapkan yang terbaik buat anak tersayang.






