hamden07/08/2026 - 18:03 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Ogos - NuEnergy Holdings Berhad (NHB) mengumumkan berjaya memenangi kontrak RM44.5 juta bagi kerja mekanikal, elektrikal dan paip (MEP) untuk pembangunan pusat data di Johor Bahru, Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia syarikat itu berkata, telah menerima Surat Anugerah (LOA) pada 7 Ogos 2026 daripada sebuah syarikat pembinaan dan kejuruteraan besar yang berpangkalan di China.
Ia bagi melaksanakan kerja-kerja MEP untuk pembangunan Bangunan Stesen Pendaratan Pengguna 2 tingkat berkapasiti 265kV/11kV bagi sebuah pusat data. Kerja-kerja berkenaan disasarkan siap pada suku keempat 2026.
Menurut NHB, projek itu merupakan satu pencapaian penting bagi Kumpulan kerana ia adalah projek voltan tinggi terbesar yang diperoleh setakat ini, sekali gus mencerminkan peningkatan keupayaan teknikal serta kapasiti pelaksanaan syarikat dalam projek infrastruktur tenaga kompleks.
"Penerimaan LOA ini menyokong pengembangan strategik NHB ke dalam sektor Voltan Ekstra Tinggi (EHV) dan talian penghantaran, khususnya bagi projek berkaitan pusat data," katanya.
NHB berkata, kejayaan pelaksanaan projek tersebut dijangka memperkukuh rekod prestasi Kumpulan dalam sektor EHV, selain membuka peluang untuk syarikat membida projek lebih besar melibatkan penghantaran tenaga, infrastruktur kuasa serta projek voltan tinggi pada masa hadapan.
Dari sudut kewangan, NHB menjangkakan kontrak berkenaan memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Syarikat itu turut menjelaskan bahawa penerimaan kontrak tersebut tidak memberi kesan terhadap modal saham atau pegangan pemegang saham utama kerana ia tidak melibatkan penerbitan saham baharu.
Dalam pada itu, NHB berkata, risiko berkaitan projek berkenaan adalah risiko operasi biasa yang lazim bagi kerja-kerja seumpamanya.
Antara langkah mitigasi yang dilaksanakan termasuk pematuhan prosedur operasi standard, kawalan kualiti dan keselamatan, pemantauan tempoh pelaksanaan serta kos projek, selain perlindungan insurans berkaitan.
Tiada pengarah atau pemegang saham utama NHB mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam LOA tersebut dan ia tidak dikategorikan sebagai transaksi pihak berkaitan.
NHB berkata, selepas mengambil kira semua aspek berkaitan, Lembaga Pengarah berpandangan bahawa penerimaan LOA itu adalah demi kepentingan terbaik Kumpulan. - DagangNews.com






