hamden09/10/2026 - 11:19 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt - NWE Resources Group Bhd (NWE) merancang membangunkan 11 formulasi produk baharu merangkumi enam formulasi makanan kesihatan dan lima formulasi penjagaan kulit, sebagai langkah memperkukuh portfolio produk serta menyokong pertumbuhan perniagaan kumpulan.
Public Investment Bank Research (PublicInvest) berkata, bagi merealisasikan perancangan itu, kumpulan turut berhasrat memperluas pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta meningkatkan keupayaan pembuatan, selain mengambil alih proses pembuatan produk terpilih secara dalaman.
"Usaha berkenaan dijangka menyokong pembangunan produk baharu dan meningkatkan penglibatan NWE dalam aktiviti pengeluaran serta pembungkusan semula secara dalaman," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut PublicInvest, NWE mempunyai pengalaman kira-kira 39 tahun dalam membekalkan kelengkapan kemudahan hospitaliti kepada hotel bertaraf empat dan lima bintang serta pelbagai pengendali hospitaliti di seluruh negara.
Kumpulan yang terlibat dalam pembekalan dan pengedaran makanan kesihatan, produk penjagaan diri serta produk berkaitan di Malaysia itu turut mengembangkan sumbangan segmen makanan kesihatan kepada hasil keseluruhan.
Bahagian hasil daripada bekalan makanan kesihatan meningkat daripada 43.3% pada tahun kewangan 2023 (FY23) kepada 55.1% pada FY26, sebahagiannya disokong oleh keupayaan R&D dalaman dan formulasi makanan kesihatan proprietari.
Setakat 28 Ogos 2026, NWE memiliki 20 formulasi makanan kesihatan yang dibangunkan menerusi keupayaan R&D dalamannya.
Pemasaran terus kepada pengguna
Dari segi model perniagaan, produk penjagaan diri dan produk berkaitan kebanyakannya dibekalkan kepada industri hospitaliti, manakala makanan kesihatan serta produk penjagaan diri terpilih dipasarkan secara langsung kepada pengguna menerusi model pemasaran berbilang tingkat.
Kumpulan turut menjalankan aktiviti pembungkusan semula produk makanan dan minuman (F&B) pada skala lebih kecil.
Prospek pertumbuhan NWED turut disokong oleh keadaan industri yang menggalakkan. Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.0% hingga 5.0% pada 2026, disokong perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan serta pertumbuhan sektor perkhidmatan sebanyak 5.2%.
Peningkatan aktiviti pelancongan dan hospitaliti menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 serta peruntukan pelancongan sebanyak RM705 juta di bawah Belanjawan 2026 dijangka terus menyokong permintaan terhadap produk penjagaan diri.
Pada masa sama, peningkatan pendapatan boleh guna dan kesedaran terhadap kesihatan dijangka menyokong penggunaan makanan kesihatan.
Berdasarkan penilaian itu, nilai saksama NWE ditetapkan pada RM0.25 sesaham, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PER) kira-kira 12.5 kali terhadap anggaran pendapatan sesaham bagi tahun kalendar 2027 (CY27F).
Pertumbuhan tahunan CAGR diunjur 14% dalam tempoh tiga tahun
Gandaan berkenaan mencerminkan diskaun kira-kira 10% berbanding PER Indeks Produk Pengguna dan Perkhidmatan Bursa Malaysia sekitar 14 kali, dengan mengambil kira permodalan pasaran serta skala perniagaan NWE yang secara relatifnya lebih kecil.
Kumpulan diunjurkan mencatatkan kadar , disokong pengenalan formulasi makanan kesihatan dan penjagaan kulit baharu, peluasan keupayaan R&D dan pembuatan serta peningkatan aktiviti pengeluaran dan pembungkusan semula secara dalaman.
Bagaimanapun, risiko utama yang perlu diberi perhatian termasuk persaingan dan perubahan cita rasa pengguna, selain kebergantungan kepada pelanggan serta pembekal utama. - DagangNews.com






