liza21/10/2026 - 10:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt – NWE Resources Group Bhd memulakan dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 22 sen sesaham, premium dua sen atau 10% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 20 sen sebelum meningkat kepada paras tertinggi 22.5 sen.
Pada 9.15 pagi, saham syarikat produk pengguna itu didagangkan pada harga 22 sen dengan lebih 33 juta saham bertukar tangan. Berdasarkan harga itu, permodalan pasaran NWE Resources berjumlah RM119 juta.
NWE Resources mengumpul hasil kasar RM28.6 juta menerusi IPO berkenaan, dengan sebahagian besar dana diperuntukkan bagi memperluas rangkaian produk dan capaian pasaran.
Antara perancangan syarikat termasuk memperkenalkan formulasi baharu bagi produk makanan kesihatan dan penjagaan diri, selain mengembangkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatan dalaman.
Perluas pasaran menerusi pejabat baharu di Johor
NWE Resources turut merancang membuka pejabat jualan baharu di Johor bagi meningkatkan penembusan pasaran di wilayah selatan.
Syarikat itu juga akan membentuk pasukan dalaman khusus bagi aktiviti e-dagang secara langsung dan media sosial untuk memperkukuh kehadiran dalam talian serta mendekati pengguna akhir secara terus.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk meluaskan saluran jualan dan meningkatkan capaian pelanggan melalui platform digital.
Catat hasil RM10.59 juta pada suku pertama
Bagi suku pertama tahun kewangan 2027, NWE Resources mencatatkan keuntungan bersih RM2.8 juta daripada hasil RM10.59 juta, bersamaan pendapatan sesaham sebanyak 0.52 sen.
Segmen pengedaran produk penjagaan diri dan makanan kesihatan menjadi penyumbang hasil terbesar, dengan RM4.25 juta atau 40.16% daripada jumlah hasil.
Segmen pembungkusan semula, pembuatan dan pembekalan produk penjagaan diri serta produk berkaitan pula menyumbang RM4.05 juta atau 38.23%.
Baki RM2.29 juta atau 21.61% daripada jumlah hasil disumbangkan oleh segmen formulasi dan pembekalan makanan kesihatan.
NWE Resources menyediakan produk kemudahan hospitaliti, produk penjagaan diri dan makanan kesihatan, dengan rancangan pengembangan merangkumi penambahan produk, peningkatan keupayaan pembuatan serta peluasan pasaran. - DagangNews.com






