Nyanyian patriotik semarak sambutan bulan kebangsaan SK Mentera

LocalMusic
19 Aug 2026 • 6:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nyanyian patriotik semarak sambutan bulan kebangsaan SK Mentera

Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera berlangsung dalam suasana penuh meriah apabila persembahan nyanyian lagu patriotik berjaya menarik perhatian dan menyuntik semangat cintakan negara dalam kalangan murid.

Persembahan lagu Sejahtera Malaysia oleh tiga orang murid berbakat, Ahmad Fahim Wafiyyuddin Ahmad Safarman ,11, Nafiz Muhammad Farish Nafiz Mohd Fadli , 12 tahun dan Nizam Afiq Muhammed 12 tahun menjadi antara acara yang paling mendapat sambutan apabila mereka menyampaikan lagu berkenaan dengan penuh keyakinan, semangat dan penghayatan.

Persembahan tersebut bukan sahaja menjadi hiburan kepada warga sekolah, malah memberi peluang kepada murid menghayati mesej perpaduan, kecintaan terhadap tanah air serta rasa bangga sebagai rakyat Malaysia melalui muzik dan nyanyian.

Kemeriahan itu turut membuktikan bahawa pendekatan menggunakan lagu patriotik mampu mendekatkan murid dengan penghayatan kemerdekaan dalam suasana yang santai. menyeronokkan dan sesuai dengan dunia kanak-kanak.

Guru Besar SK Mentera, Ruzaini Ab Sattar, berkata sambutan Bulan Kebangsaan di sekolah bukan sekadar mengadakan aktiviti untuk memeriahkan bulan kemerdekaan, sebaliknya menjadi medium penting untuk menyemai semangat patriotisme dalam diri murid sejak usia muda.

Menurut beliau, penglibatan murid dalam persembahan nyanyian patriotik memberikan pengalaman secara langsung kepada mereka untuk menghayati makna kemerdekaan dan menghargai keamanan serta keharmonian yang dinikmati hari ini.

“Apabila murid menyanyikan lagu patriotik bersama-sama, mereka bukan sahaja menghafal lirik, tetapi turut belajar memahami nilai perpaduan, kecintaan kepada negara dan semangat kebersamaan.

“Kita mahu sambutan Bulan Kebangsaan menjadi pengalaman yang menyeronokkan kepada murid supaya semangat cintakan negara dapat diterapkan secara semula jadi dalam kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata, bakat murid dalam bidang nyanyian juga perlu diberikan ruang dan peluang untuk diketengahkan kerana aktiviti sedemikian dapat meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran berkomunikasi.

Katanya, sambutan kali ini turut memperlihatkan kesediaan murid untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai aktiviti bertemakan patriotisme yang dianjurkan pihak sekolah.

Selain nyanyian, sambutan Bulan Kebangsaan SK Mentera turut dimeriahkan dengan penghasilan bunga raya gergasi yang menjadi antara tarikan utama di kawasan sekolah.

Bunga raya yang merupakan bunga kebangsaan Malaysia itu dihasilkan secara kreatif dengan penglibatan warga sekolah dan menjadi simbol kepada semangat kebersamaan dalam menjayakan sambutan.

Program berkenaan dianjurkan oleh Unit Kokurikulum SK Mentera dengan kerjasama Pusat Sumber Sekolah, Panitia Sejarah, Muzik, Pendidikan Seni Visual (PSV), Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Inggeris (BI) serta Bahasa Melayu (BM).

Penglibatan pelbagai panitia itu menjadikan sambutan lebih menarik kerana murid dapat menghayati semangat patriotisme menerusi pelbagai pendekatan termasuk muzik, seni, bahasa, sejarah dan kreativiti.

Bagi murid pula, persembahan lagu patriotik dan aktiviti sambutan yang diadakan memberikan pengalaman berbeza berbanding pembelajaran di dalam bilik darjah.

Keterujaan mereka menyanyi bersama-sama sambil mengibarkan Jalur Gemilang jelas menunjukkan bahawa sambutan Bulan Kebangsaan masih mempunyai tempat istimewa dalam kalangan generasi muda.

Sambutan tersebut diharap dapat terus menyemai rasa bangga menjadi rakyat Malaysia serta melahirkan generasi yang menghargai kemerdekaan, perpaduan, keamanan dan keharmonian negara.-UTUSAN

The post Nyanyian patriotik semarak sambutan bulan kebangsaan SK Mentera appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved