OpenSys positif prospek baki FY26 selepas hasil 1H melonjak 24% kepada RM63.4 juta

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 5:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

OpenSys positif prospek baki FY26 selepas hasil 1H melonjak 24% kepada RM63.4 juta Image from: OpenSys positif prospek baki FY26 selepas hasil 1H melonjak 24% kepada RM63.4 juta hamden17/08/2026 - 17:34 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos - OpenSys (M) Bhd kekal positif terhadap prospek baki tahun kewangan 2026 (FY2026), disokong pertumbuhan segmen Perkakasan serta asas pendapatan berulang daripada Penyelesaian dan Perkhidmatan.

 

Penyedia penyelesaian kewangan, telekomunikasi dan utiliti itu berkata, segmen Perkakasan dijangka terus menjadi penyumbang penting kepada prestasi Kumpulan, didorong program penggantian kitar hayat mesin kitar semula tunai (CRM), projek naik taraf sistem operasi serta peningkatan penggunaan mesin kitar semula wang tunai juruwang (TCR) dan penyelesaian Cawangan Masa Depan (BOTF).

 

Pada masa sama, segmen Penyelesaian dan Perkhidmatan dijangka terus menyediakan asas pendapatan berulang yang kukuh menerusi perkhidmatan penyelenggaraan, operasi kiosk, pemprosesan cek, SmartCIT dan penyelesaian perisian.

 

OpenSys berkata, persekitaran perniagaan Malaysia kekal disokong permintaan domestik yang berdaya tahan serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur, pendigitalan dan automasi.

 

"Walaupun ketidaktentuan ekonomi global, perkembangan geopolitik dan peningkatan kos operasi mungkin terus memberi kesan kepada keadaan perniagaan, transformasi digital berterusan dalam sektor perkhidmatan kewangan dijangka mewujudkan lebih banyak peluang kepada Kumpulan," katanya dalam kenyataan prestasi kewangan 2QFY2026 hari ini.

 

Prestasi Kewangan

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2026 (1HFY2026), OpenSys mencatat hasil RM63.39 juta, meningkat 24.2% daripada RM51.02 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula meningkat 23.7% kepada RM10.73 juta daripada RM8.67 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) naik 23.7% kepada RM7.89 juta berbanding RM6.37 juta sebelumnya.

 

Prestasi itu dipacu terutamanya pertumbuhan ketara segmen Perkakasan yang menyaksikan hasil melonjak 176% kepada RM22.33 juta daripada RM8.09 juta.

 

Segmen Penyelesaian dan Perkhidmatan pula menyumbang RM41.06 juta, berbanding RM42.93 juta pada 1HFY2025, sekali gus terus menyediakan aliran pendapatan berulang kepada Kumpulan.

 

Untuk 2QFY2026 sahaja, hasil meningkat 23.5% kepada RM32.10 juta daripada RM25.98 juta, manakala PBT bertambah 20.9% kepada RM5.32 juta.

 

Hasil Perkakasan hampir tiga kali ganda kepada RM11.91 juta daripada RM4.13 juta, disokong penggunaan CRM dan peningkatan permintaan bagi projek naik taraf sistem operasi.

 

Dividen

OpenSys turut mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 0.45 sen sesaham bagi FY2026, yang merupakan pembayaran dividen berturut-turut ke-49 sejak 2010.

 

Menurut OpenSys, institusi kewangan terus memodenkan rangkaian cawangan dan meningkatkan keupayaan layan diri, sekali gus mewujudkan peluang baharu bagi penyelesaian automasi perbankannya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif OpenSys, Luke Sebastian berkata, prestasi separuh pertama menunjukkan keupayaan Kumpulan memanfaatkan peluang pertumbuhan sambil mengekalkan asas pendapatan berulang yang berdaya tahan.

 

Kumpulan berkata, sekiranya tiada keadaan luar jangka, ia menjangkakan prestasi yang memuaskan bagi FY2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved