hamden23/09/2026 - 16:18 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept - OSK Property bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan rakan kongsi pembinaan Multiplex secara rasmi memulakan pembinaan menara kediaman AURA setinggi 67 tingkat bernilai A$800 juta (RM2.25 bilion) di Southbank, Melbourne, Australia.
Projek itu merupakan fasa ketiga pembangunan bersepadu Melbourne Square bernilai A$3.5 bilion, dengan AURA dijadualkan siap pada awal 2030.
Menurut OSK Holdings Bhd dalam kenyataan pada Selasa, lebih 140 unit AURA telah terjual sejak pelancaran awal projek itu pada suku kedua 2026.
AURA dibangunkan selepas BLVD, yang kini dalam pembinaan dengan proses penyerahan unit dijadualkan bermula pada Oktober 2026.
Harga unit AURA bermula daripada A$565,000 dan menawarkan pilihan kediaman studio, satu, dua dan tiga bilik tidur, selain penthouse serta Mira Terraces.
Setelah siap, pembangunan itu akan menambah kira-kira 1,800 meter persegi ruang runcit kepada kawasan Melbourne Square, melengkapkan ruang komersial sedia ada seluas 4,300 meter persegi yang menempatkan pasar raya Woolworths, BWS, Pacific Asian Grocer, premis makanan dan minuman serta pusat penjagaan kanak-kanak Nido.
Menara berkenaan turut menampilkan lima tingkat kemudahan berinspirasikan Jepun, termasuk AURA Club and Gardens di Aras 7 yang menawarkan kolam renang dalaman sepanjang 25 meter, gimnasium, kemudahan kesihatan dan kesejahteraan serta astaka kedai teh luaran yang dikelilingi landskap.
Kemudahan lain untuk penghuni termasuk simulator golf, ruang kerja bersama, Meridian Club di aras 49 dan 50 serta Cumulus Club persendirian di aras 66 dan 67 yang dikhaskan untuk kediaman premium.
Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property Australia, Woon Chong Boon, berkata AURA menawarkan pengalaman gaya hidup unik dengan menggabungkan unsur ketenangan, kejernihan dan kesederhanaan reka bentuk Jepun.
“Pembinaan AURA menandakan pencapaian penting bagi kawasan Melbourne Square yang terus berkembang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif OSK Holdings, Tan Sri Ong Leong Huat, berkata AURA mewakili bab seterusnya dalam pembangunan Melbourne Square dan meneruskan visi kumpulan untuk mewujudkan komuniti yang saling berhubung serta berkembang maju di tengah-tengah Southbank.
Pengarah Urusan Serantau Multiplex, Ross Snowball, berkata syarikat itu akan memanfaatkan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan peralatan pembinaan digital bagi melaksanakan projek berkenaan.
Katanya, pengalaman menyiapkan dua menara terdahulu serta pembinaan BLVD ketika ini memberi pasukannya pengetahuan projek dan kaedah kerja inovatif untuk melaksanakan beberapa fasa pembangunan Melbourne Square. - DagangNews.com





