hamden28/08/2026 - 17:42 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Ogos - Tune Protect Group Berhad dijangka memperoleh sokongan pertumbuhan baharu daripada strategi pengembangan agresif ke dalam segmen insurans bukan pelancongan.
TA Research berkata, selain insurans motor, kumpulan itu juga giat meneroka peluang dalam perlindungan pekerja asing, insurans kebakaran dan panel solar.
Menurut firma penyelidikan itu, langkah tersebut akan membantu kumpulan mempelbagaikan sumber pendapatannya ketika segmen insurans perjalanan kekal sederhana berikutan konflik berterusan di Timur Tengah serta kapasiti penerbangan yang lebih rendah.
"Bagi insurans motor, Tune Protect sedang memperluaskan jangkauannya menerusi ekosistem syarikat kereta terpakai dan pajakan yang telah kukuh bagi memperluaskan capaian serta menarik segmen pelanggan baharu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan unjuran pendapatan Tune Protect bagi FY26 hingga FY28 serta mengulangi saranan 'Beli' dengan harga sasaran tidak berubah RM0.38 sesaham, berdasarkan penilaian 0.5 kali harga kepada nilai buku (PB) CY27.
TA Research berkata, tumpuan ke dalam segmen perlindungan pekerja asing, insurans kebakaran dan insurans panel solar dilihat sejajar dengan usaha kumpulan membina portfolio perniagaan yang lebih pelbagai, selain memanfaatkan permintaan terhadap produk perlindungan yang lebih khusus.
"Segmen pelancongan dijangka bertambah baik khususnya pada 4Q26, apabila permintaan perjalanan dijangka mencapai kemuncaknya," katanya.
Keputusan Tepati Jangkaan
Menurut TA Research, secara keseluruhan keputusan kewangan Tune Protect separuh pertama 2026 (1H26) menepati jangkaan dengan keuntungan bersih RM8.8 juta dan menyumbang 46.3% daripada anggaran keuntungan setahun penuh penganalisis.
Pada asas suku ke suku, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan melonjak kepada RM8 juta pada suku kedua 2026 (2Q26), berbanding RM1.7 juta pada suku sebelumnya.
Pemulihan tersebut disokong peningkatan ketara dalam prestasi pengunderaitan dan pendapatan pelaburan yang lebih tinggi.
Keputusan perkhidmatan insurans pula meningkat lebih dua kali ganda kepada RM6.6 juta daripada RM3 juta pada 1Q26, manakala nisbah gabungan bertambah baik sebanyak 7.6 mata peratusan kepada 90.9%.
Bagaimanapun, secara tahun ke tahun, PBT 1H26 susut 56.5% kepada RM9.7 juta apabila hasil insurans menurun 6.9% kepada RM162.9 juta.
Prestasi itu terjejas oleh perniagaan pelancongan yang lebih perlahan, tuntutan bersih yang lebih tinggi susulan perubahan campuran hasil ke arah perniagaan bukan pelancongan serta pendapatan pelaburan yang lebih rendah.
Namun, premium kasar bertulis (GWP) bagi perniagaan bukan pelancongan meningkat 10% tahun ke tahun, mencerminkan keberkesanan strategi kumpulan untuk memperkukuh sumber pertumbuhan di luar segmen perjalanan.
Pengembangan ke dalam segmen bukan pelancongan, khususnya insurans motor dan produk perlindungan khusus, dilihat berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan seterusnya bagi Tune Protect ketika kumpulan memperkukuh rangkaian pengedaran dan memperluaskan asas pelanggannya. - DagangNews.com






