sarah24/11/2026 - 17:27 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov - Crest Builder Holdings Berhad mencatatkan pendapatan RM707.7 juta bagi sembilan bulan pertama 2026, mengatasi keseluruhan pendapatan RM673.2 juta yang dicatatkan sepanjang tahun kewangan 2025, didorong kemajuan pesat projek pembinaannya.
Pendapatan kumpulan meningkat 59.6% berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan segmen pembinaan menyumbang 82.4% daripada keseluruhan pendapatan bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026.
Keuntungan operasi segmen pembinaan turut melonjak 90.4% kepada RM22.4 juta, manakala kos pembiayaan yang lebih rendah membantu meningkatkan keuntungan sebelum cukai kumpulan sebanyak 97.6% kepada RM22.5 juta.
Susulan itu, keuntungan bersih Crest Builder bagi sembilan bulan pertama 2026 meningkat 76.4% kepada RM13.4 juta.
Buku tempahan RM1.5 bilion sokong pertumbuhan
Setakat 30 September 2026, Crest Builder mempunyai baki buku tempahan bernilai kira-kira RM1.5 bilion yang menyokong kesinambungan aktiviti pembinaan kumpulan pada masa hadapan.
Kumpulan juga memperoleh kontrak baharu bernilai RM575 juta sejak awal tahun menerusi perniagaan pembinaan serta perkhidmatan mekanikal dan elektrikal, sekali gus mencapai 82% daripada sasaran kontrak baharu RM700 juta bagi tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Crest Builder, Eric Yong berkata, kemajuan beberapa projek utama telah menyumbang kepada peningkatan keuntungan kumpulan, dengan tumpuan kini diberikan kepada memastikan projek berjalan mengikut jadual dan kos terkawal.
“Dengan kerja dalam tangan bernilai RM1.5 bilion dan sumbangan stabil daripada perniagaan konsesi, kami memberi tumpuan kepada mengekalkan momentum keuntungan serta memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Keuntungan bersih suku ketiga melonjak 148.3%
Bagi suku ketiga 2026, keuntungan bersih Crest Builder melonjak 148.3% kepada RM6.8 juta, manakala pendapatan meningkat 43.9% kepada RM270.8 juta.
Keuntungan sebelum cukai kumpulan pula meningkat lebih dua kali ganda kepada RM12.8 juta, disokong prestasi kukuh bahagian pembinaan.
Pendapatan bahagian pembinaan meningkat 55.3% kepada RM220.6 juta, manakala keuntungan sebelum cukainya meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM11.1 juta hasil kemajuan kerja di tapak projek yang sedang dilaksanakan. - DagangNews.com






