liza23/11/2026 - 12:34 Banjir yang berlaku di Pahang pada 2025 - Gambar BERNAMA Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov – Kerajaan Pahang memperuntukkan RM35 juta bagi melaksanakan kerja-kerja tebatan banjir di tujuh daerah di negeri itu sebagai langkah mengurangkan risiko kerugian akibat banjir ketika Monsun Timur Laut.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu membabitkan RM5 juta bagi setiap daerah iaitu Kuantan, Pekan, Temerloh, Lipis, Jerantut, Maran dan Raub.
"Kerajaan Negeri turut mengambil pendekatan lebih proaktif dalam menghadapi musim tengkujuh dengan mengenal pasti dan membersihkan sistem perparitan yang berisiko tersumbat sebelum berlakunya banjir.
“Pendekatan kita untuk menangani musim tengkujuh ini ada sedikit anjakan positif, antaranya mengenal pasti longkang yang mungkin tersumbat akibat rumput, kayu dan sebagainya untuk dibersihkan lebih awal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Andansura Rabu (PAS-Beserah) yang ingin tahu mengenai langkah segera kerajaan negeri bagi mengurangkan risiko banjir sepanjang Monsun Timur Laut pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini.
Kajian induk saliran Kuantan hingga 2028
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut memulakan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (Pisma) bagi Kuantan selama dua tahun bermula 23 November 2026 hingga 20 November 2028.
Wan Rosdy berkata, kajian yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri itu bertujuan menyediakan pelan induk saliran yang menyeluruh dan bersepadu, termasuk membangunkan pangkalan data bagi memetakan laluan saliran serta menilai kapasiti sistem perparitan sedia ada.
Menurutnya, kajian itu juga akan mengenal pasti agensi yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan setiap laluan saliran bagi memastikan pengurusan infrastruktur berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
Dapatan kajian itu akan menjadi rujukan kepada JPS, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan agensi teknikal berkaitan dalam merancang serta melaksanakan projek pembangunan, penyelenggaraan dan naik taraf sistem perparitan secara lebih sistematik.
Kenal pasti pemilikan tanah dan tanggungjawab penyelenggaraan
Beliau berkata, kajian berkenaan turut merangkumi penyediaan pangkalan data inventori bagi menjelaskan status pemilikan tanah serta tanggungjawab penyelenggaraan di sepanjang laluan saliran.
Langkah itu akan memudahkan pelaksanaan kerja penyelenggaraan, pelebaran dan naik taraf saliran, sekali gus membantu meningkatkan keberkesanan pengurusan infrastruktur perparitan di seluruh Kuantan termasuk kawasan Beserah.
Menurut Wan Rosdy, inisiatif berkenaan penting bagi memastikan sistem saliran dapat diurus dan diselenggara dengan lebih berkesan, selain mengurangkan risiko longkang melimpah serta kejadian banjir kilat.
Kajian Pisma merupakan inisiatif perancangan saliran mampan yang menilai sistem perparitan sedia ada, mengenal pasti kawasan berisiko banjir serta membangunkan penyelesaian jangka panjang bagi mengurus aliran air hujan. - DagangNews.com






