‘Paling penting faham kenapa bertudung, bukan sekadar tutup aurat’

19 Aug 2026 • 11:32 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Paling penting faham kenapa bertudung, bukan sekadar tutup aurat’

KUALA LUMPUR – Pelakon Aiman Hakim Ridza menyambut baik perubahan isterinya, Zahirah MacWilson, yang kini mula mengenakan hijab, namun menegaskan proses penghijrahan bukan berkisar soal penampilan semata-mata.

Ujar Aiman atau nama sebenarnya Aiman Hakim Ridza Abdoh, 37, isterinya masih dalam proses membiasakan diri dengan pemakaian hijab dan perkara lebih utama baginya ialah kefahaman terhadap tujuan serta nilai di sebalik perubahan tersebut.

“Dia sebenarnya sedang mencuba. Bagi saya, bukan soal sudah berhijab atau sebaliknya. Paling penting ialah memahami maksud di sebalik pemakaian hijab.

“Hijab bukan sekadar untuk menutup aurat, sebaliknya sebahagian daripada usaha memperbaiki diri. Menutup aurat hanya satu bahagian kecil daripada proses menjadi insan lebih baik.

“Bagi saya, yang penting dia faham kenapa dia memakai tudung, apa kebaikannya serta bagaimana perubahan itu membentuk peribadi. Keperibadian seseorang lebih utama daripada sekadar penampilan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Bintang drama Bad Cop itu turut mengulas pujian netizen terhadap dirinya sebagai suami susulan perubahan penampilan Zahirah sekali gus menganggap pelbagai tanggapan serta teori daripada orang ramai sebagai perkara biasa.

“Orang biasalah, mereka ada macam-macam teori dan pandangan. Tetapi bagi saya, hakikatnya isteri saya memahami usaha untuk menjadi insan lebih baik jauh lebih penting daripada pemakaian tudung.

“Tudung hanya tudung dan tidak akan mengubah seseorang secara keseluruhan. Soal dosa dan pahala kan Tuhan sahaja menentukan,” ujarnya pada sesi fotografi Akasia: Sumpah Ayahku, semalam.

Aiman mengakui suri hatinya banyak bertanya kepadanya sebelum membuat keputusan untuk mengenakan hijab.

“Sudah tentu dia banyak bertanya. Tetapi seperti saya katakan, saya selalu tekankan kepentingan keperibadian.

“Perkara paling utama, memahami sebab kita memakai tudung, bukan sekadar pemakaian itu sendiri. Isi kandungan sebagai seorang Muslim lebih penting.

“Kalau seseorang memakai tudung tetapi tidak mempunyai adab, semuanya tidak membawa makna. Penampilan sahaja tidak akan mengubah seseorang,” jelasnya.

Dalam temu bual sama, pelakon Zahirah MacWilson turut mendedahkan baru sekitar dua bulan mencuba untuk berhijab, malah mengakui masih melalui proses menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

Katanya, keputusan untuk menutup aurat sudah lama tersemat dalam hati, namun dia memilih untuk tidak terburu-buru membuat sebarang pengumuman berkaitan perubahan penampilannya. – KOSMO! ONLINE.

The post ‘Paling penting faham kenapa bertudung, bukan sekadar tutup aurat’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved