Panggilan video lebih sejam kenangan terakhir keluarga juruterbang nahas helikopter

9 Sep 2026 • 12:10 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Panggilan video lebih sejam kenangan terakhir keluarga juruterbang nahas helikopter

SEREMBAN, 9 SEPT: Panggilan video lebih sejam bersama ibu pada malam sebelum kejadian menjadi detik terakhir buat keluarga kepada juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, yang terlibat dalam nahas helikopter di Sarawak semalam.

Bapanya, Bee Sham Ahmad, 59, berkata anak keempat daripada 12 beradik itu ada menghubungi ibunya Zaiton Muda, 59, menerusi panggilan video yang agak lama pada malam sebelum kejadian nahas berlaku.

"Arwah memang selalu telefon kami tetapi malam kelmarin dia telefon dan berbual memang lama, dia video call dengan mak dia lebih sejam setengah dari 10 malam sampai 11 lebih... tak sangka itu adalah panggilan terakhirnya.

"Berita sedih itu hanya diketahui menerusi anak kelapan saya yang memaklumkan abangnya terlibat dalam nahas petang semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bee Sham berkata kali terakhir mereka bertemu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lepas ketika arwah anaknya bercuti selama seminggu untuk mengundi di Senawang sebelum kembali ke Miri meneruskan tugasnya.

Sementara itu, beliau berkata mereka sekeluarga kini dalam perjalanan ke Miri, Sarawak bagi membuat ujian Deoxyribonucleic Acid (DNA) dan pengesahan berkaitan serta mendapatkan perkembangan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

"Kami dimaklumkan kesemua mangsa masih berada di lokasi kejadian kerana lokasi itu terletak jauh di kawasan pedalaman. Kami masih menunggu maklumat lanjut mengenai urusan membawa pulang jenazah dan jika diizinkan kami berhasrat kebumikan arwah di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights Senawang,” katanya.

Allahyarham Zainol Afiq meninggalkan seorang isteri serta dua cahaya mata berusia enam tahun dan 10 bulan.

Semalam, helikopter BO-105 membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan petang semalam mengesahkan insiden berkenaan melaporkan menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.

Selain Kapten Zainol, empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Dr Ainul Baraah Kamaruddin, penolong pegawai perubatan Alexson Adit dan dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved