Pintu air pecah: 50 rumah ‘tenggelam’ di Kampung Pasir

LocalEnvironment
12 Oct 2026 • 4:27 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pintu air pecah: 50 rumah ‘tenggelam’ di Kampung Pasir

JOHOR BAHRU – Hasrat penduduk Kampung Pasir untuk beristirahat pada waktu malam bertukar cemas apabila lebih 50 buah rumah di kawasan berkenaan dinaiki air sehingga paras betis berikutan kejadian pintu air pecah di Parit Pinjam, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, limpahan air sungai dari Sungai Skudai memasuki kawasan kediaman penduduk dengan pantas selepas struktur pintu air yang berusia lebih 20 tahun sedia ada mengalami kerosakan.

Ketua Kampung Pasir, Zaini Sinong berkata, walaupun banjir kilat kerap berlaku di kawasan berkenaan, insiden pintu air pecah merupakan kejadian julung kali yang mendatangkan kerisauan teruk dalam kalangan penduduk.

“Kejadian ini berlaku sekitar pukul 12.30 tengah malam dan dianggarkan 50 buah rumah terjejas. Kejadian pintu air pecah ini memang kali pertama berlaku, namun kalau banjir kilat biasa memang kerap terjadi.

“Air masuk sehingga ke paras betis di dalam rumah. Mujur pam air sedia ada masih berfungsi untuk menyedut semula air sungai yang melimpah keluar, jika tidak keadaan mungkin lebih teruk,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Zainib, kerosakan struktur pada pintu pam berkenaan dipercayai berpunca daripada faktor usia peralatan yang sudah lama.

“Pintu yang rosak ini berkemungkinan besar disebabkan faktor usia. Pam yang ada sekarang ini adalah jenis pam mudah alih yang bersifat sementara. Walaupun pam baharu siap kelak, pam sedia ada ini tetap diperlukan sebagai sokongan,” ujarnya.

Menurut penduduk, Jalil Selamat, 67, ketika kejadian berlaku, dia bersama tiga ahli keluarganya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan kejadian.

“Kami memang sudah bersiap sedia kerana dalam tempoh tiga hari ini memang dijangka akan berlaku air pasang dan bila berlaku memang ada risiko rumah dinaiki air. Tetapi kali ini diterukkan apabila pintu air pecah malam tadi hingga menyebabkan air naik dengan begitu cepat,” katanya.

Menurutnya yang telah tinggal di kampung berkenaan sejak 42 tahun lalu, isu banjir di kawasan itu telah berlarutan beberapa tahun dan semakin kerap melanda sejak akhir-akhir ini.

“Sekarang boleh kata dua hingga tiga kali rumah dinaiki air hingga menyebabkan banyak harta benda seperti perabut dan barang elektrik mengalami kerosakan. Malam tadi air surut selepas tiga jam kira-kira 4 pagi. Tetapi pukul 12 tengah hari ini air pasang masuk semula dan rumah dinaiki air disebabkan pintu air belum dibaiki,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Pintu air pecah: 50 rumah ‘tenggelam’ di Kampung Pasir appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved