
PETALING JAYA – Pengunjung sebuah gelanggang pickleball berdepan detik tidak disangka apabila kawasan berkenaan tiba-tiba dinaiki air susulan hujan lebat yang melanda sekitar Subang Jaya, petang ini.
Kejadian itu dikongsikan seorang pengguna Threads, @s.h.yusof menerusi beberapa rakaman yang memaparkan kawasan gelanggang digenangi air.
Rakaman berkenaan menunjukkan air bukan sahaja memenuhi kawasan luar premis, malah turut memasuki sebahagian kawasan gelanggang sehingga menyebabkan aktiviti di situ terjejas.
Beberapa kenderaan yang diletakkan berhampiran premis turut dikelilingi air, manakala beberapa individu dilihat meredah air yang sudah mencecah sekitar paras betis.
Situasi berkenaan dipercayai berlaku susulan hujan lebat yang melanda beberapa kawasan sekitar Subang Jaya dan Petaling Jaya sejak petang tadi.
Terdahulu, pengguna media sosial turut melaporkan kejadian banjir kilat di beberapa lokasi termasuk sekitar LRT USJ7, Summit USJ, Ara Damansara, Subang Airport, Subang Bestari dan Kota Damansara.
Beberapa rakaman tular menunjukkan paras air meningkat di jalan raya dan kawasan parkir sehingga ada pengguna jalan raya mengambil keputusan untuk berhenti serta tidak meneruskan perjalanan. – KOSMO! ONLINE
The post Tengah main pickleball, tiba-tiba air naik appeared first on Kosmo Online.





