Pas tidak libatkan Bersatu runding kerusi

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 6:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pas tidak libatkan Bersatu runding kerusi

KOTA BHARU: Pas mengesahkan rundingan agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan UMNO akan dimulakan dalam masa terdekat tanpa melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus memberi bayangan kerjasama politik baharu menjelang pilihan raya itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas diberi ruang untuk berunding dengan UMNO berdasarkan kedudukan kerusi yang bakal dipertandingkan dan akan dilakukan menerusi pertemuan secara langsung, sama seperti pendekatan yang digunakan sebelum ini.

“Di pihak Pas, telah diputuskan kita masih lagi dibenarkan untuk berunding ataupun diminta untuk berunding dengan UMNO mengikut kedudukan kerusi itu.

“Rundingan itu dilakukan menerusi pertemuan secara langsung dan sebelum ini Pas tidak menggunakan surat dalam urusan rundingan kerusi dengan UMNO. Jadi, di Melaka kita gunakan kaedah yang sama,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Panitia Induk Muktamar Tahunan Pas Kelantan Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, pembahagian kerusi di Melaka tidak semestinya mengikut konsep yang digunakan di Negeri Sembilan.

Katanya, hal ini kerana kedudukan kerusi antara kedua-dua negeri berkenaan adalah berbeza dan proses perundingan masih berjalan serta perlu mengambil kira keputusan PRN Melaka pada Disember 2021 serta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.

“Dalam PRN Melaka 2021, Pas tidak memenangi sebarang kerusi menerusi PN, manakala PN hanya memenangi dua kerusi yang ketika itu dimenangi Bersatu.

“Bagaimanapun, salah satu kerusi yang dimenangi UMNO dalam PRN 2021 kini disandang wakil yang menyertai Pas, iaitu kerusi Rumbia. Kerusi Rumbia itu adalah wakil rakyat UMNO. Masa itu belum ada Akta Lompat Parti.

“Masa dia masuk Pas itu belum ada undang-undang Antilompat Parti.

“Jadi, itu pun benda-benda yang akan kita bincangkan. Adakah dia itu menjadi kerusi UMNO juga walaupun dia masuk Pas, ataupun kerusi itu akan dianggap kerusi Pas? Itu dalam perundinganlah, kita belum putus lagi,” ujarnya.

Takiyuddin berkata, faktor kerusi Parlimen juga akan menjadi antara asas perbincangan pembahagian kerusi di Melaka.

Katanya, keputusan PRU15 pada 2022 menyaksikan Pas memenangi dua daripada enam kerusi Parlimen di Melaka, manakala Bersatu, PKR, DAP dan Amanah masing-masing memenangi satu kerusi.

“Jadi, kita akan bincanglah macam mana. Walaupun Pas tidak ada kerusi DUN, tapi Pas ada dua Parlimen. Benda-benda yang kita akan bincang, belum diputuskan lagi. Bukan kata tetap dan putuslah, tidak ada. Itu benda-benda yang kita akan jadikan asas perbincangan kita,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Barisan Nasional (BN) Melaka terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana gabungan parti, dalam usaha mencari titik pertemuan terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, telah memberikan kebenaran kepada Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN Negeri dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana gabungan parti. – UTUSAN

The post Pas tidak libatkan Bersatu runding kerusi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved