
KUALA LUMPUR: Pasukan guaman Datuk Seri Najib Razak masih menunggu arahan susulan berhubung perkembangan terkini permohonan pengampunan diraja bekas Perdana Menteri itu.
Peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata, pihaknya tidak mahu memberikan sebarang komen terlalu awal bagi mengelakkan penyampaian maklumat yang tidak tepat kepada umum.
“Saya sedang menunggu arahan berhubung perkembangan ini. Saya tidak mahu memberikan sebarang maklumat yang salah,” katanya.
Menurut Farhan, Tetuan Shafee & Co akan mengeluarkan kenyataan sekiranya terdapat perkembangan yang memerlukan maklum balas daripada pihak guaman Najib.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan hari ini.
Ketetapan berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan hari ini.
Perkembangan itu menyusul selepas permohonan pengampunan diraja yang dibuat Najib sebelum ini menjadi perhatian susulan proses pertimbangan oleh Lembaga Pengampunan.
Pasukan guaman beliau dijangka mengeluarkan maklum balas rasmi sekiranya menerima arahan berhubung perkembangan terbaharu berkenaan. – UTUSAN
The post Pasukan guaman Najib tunggu arahan susulan appeared first on Utusan Malaysia.






