
GEORGE TOWN – Tindakan seorang ‘kakak kantin’ membantu seorang pelajar lelaki yang sering dilihatnya duduk di belakang makmal komputer ketika waktu rehat ternyata mengundang sebak dalam kalangan pengguna media sosial.
Kisah menyentuh hati itu dikongsikan seorang pengguna media sosial yang memuat naik hantaran dan gambar pelajar berkenaan bersama wanita yang dikenali sebagai Kak Zira.
“Ada seorang budak lelaki di sekolah yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan. Waktu rehat, kadang-kadang dia cuma duduk di belakang makmal komputer sebab tak ada duit nak makan.
“Kak Zira, kakak kantin sekolah, perasan keadaan dia. Sejak itu, tiap-tiap hari Kak Zira bagi dia makan percuma,” tulisnya.
Menurutnya, sempena sambutan Hari Koperasi, sekolah, Kak Zira turut memberikan wang kepada pelajar itu supaya dia boleh membeli apa sahaja yang diingini dan bergembira bersama rakan-rakannya.
Lebih menyentuh hati, kata-kata Kak Zira kepada pelajar tersebut menjadi perkara yang paling diingati.
“Kalau tak cukup, jumpa saya tau”.
Menurut perkongsian itu, Kak Zira seorang yang prihatin dan tidak membezakan pelajar berdasarkan latar belakang keluarga, warna kulit mahupun agama.
“Tak kira siapa dia, dari keluarga mana atau macam mana keadaan dia. Kak Zira cuma nampak seorang budak yang layak untuk makan, gembira dan rasa dihargai.
“Kadang-kadang, pengajaran tentang perpaduan bukan datang dari dalam kelas, tapi melalui kebaikan kecil yang ikhlas.
“Terima kasih Kak Zira. Inilah Malaysia yang kita bangga,” katanya
Kisah berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang memuji keprihatinan Kak Zira selain mendoakan agar kebaikan tersebut menjadi kenangan yang tidak dilupakan pelajar berkenaan.
“Nanti budak ini dah berjaya, saya yakin dia akan cari akak ini. Siapa tahu, mungkin satu hari nanti budak ini jadi orang yang sangat berjaya,” komen seorang pengguna.
Sementara itu, seorang lagi pengguna mengingatkan bahawa amalan bersedekah tidak akan menyebabkan seseorang menjadi miskin, sebaliknya rezeki boleh hadir dalam pelbagai bentuk.
“Yakinlah, tidak akan jatuh miskin seseorang itu dengan bersedekah. Allah akan berikan rezeki yang tidak pernah kita duga. Rezeki Allah itu Maha luas dan tidak terbatas terhadap hamba-Nya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Patutlah pelajar ini duduk belakang makmal, rupanya dia…’ appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] ‘Patutlah bas senget, memandu sambil tengok live’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/pemandu-bas-viral-1024x575.jpeg)


