amree23/09/2026 - 10:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept — PBA Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) memfailkan tuntutan RM400 juta terhadap Impian Mawar Sdn Bhd berhubung projek pembinaan takungan air yang didakwa tidak disiapkan mengikut kontrak.
Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, pertikaian tersebut membabitkan kerja-kerja pengeluaran dan pengurangan batuan yang diperlukan bagi pembinaan takungan di Seberang Perai, Pulau Pinang, dengan kerja-kerja asal sepatutnya dijadualkan siap pada 30 November 2012.
Tambah PBA Holdings, PBAPP sudah memberikan beberapa lanjutan tempoh berjumlah 93 bulan, yang menjadikan tarikh akhir siap projek dilanjutkan kepada 31 Ogos 2020, namun kontraktor itu didakwa hanya menyiapkan kira-kira 69% daripada keseluruhan kerja yang dikontrakkan.
Susulan itu, PBAPP menuntut RM400 juta bagi kos menyiapkan dan menggantikan kerja berkenaan, tertakluk kepada pengesahan serta penilaian pakar, selain menuntut ganti rugi tertentu (LAD) sebanyak RM3,000 sehari serta ganti rugi lain, faedah dan kos guaman.
Jelas kumpulan itu, PBAPP memulakan prosiding undang-undang terhadap Impian Mawar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 13 Mei 2026, namun Impian Mawar kemudiannya memfailkan tuntutan balas kira-kira RM68 juta terhadap PBAPP pada 28 Julai 2026.
Kontraktor berkenaan mendakwa PBAPP sebagai gagal mempertimbangkan permohonannya untuk lanjutan masa dengan sewajarnya sebelum bertindak mengeluarkan notis penamatan kontrak tersebut.

Impian Mawar turut mendakwa notis penamatan berkenaan tidak mematuhi keperluan prosedur yang ditetapkan dalam kontrak pembinaan, selain memohon pengisytiharan bahawa penamatan kontrak tersebut adalah tidak sah serta PBAPP sudah melanggar obligasi kontraknya.
Selain itu, kontraktor berkenaan menuntut bayaran balik sebanyak RM4.45 juta bagi yuran royalti yang dibayar kepada Pejabat Daerah dan Tanah, di samping ganti rugi berhubung dakwaan kerosakan reputasi syarikat.
Dalam pada itu, menurut PBA Holdings, kesan kewangan muktamad prosiding tersebut masih tidak dapat dipastikan kerana mahkamah belum membuat keputusan terhadap tuntutan PBAPP atau pun tuntutan balas daripada Impian Mawar.
PBA Holdings berkata, peguam PBAPP berpandangan anak syarikatnya mempunyai prospek yang munasabah untuk berjaya dalam tuntutan tersebut berdasarkan dakwaan kegagalan kontraktor menyiapkan kerja walaupun beberapa kali lanjutan telah diberikan.
Penasihat undang-undang PBAPP juga berpandangan ia mempunyai prospek munasabah untuk mempertahankan tuntutan balas, namun kesahihan prosedur penamatan masih tertakluk kepada segala bukti yang akan dikemukakan ketika perbicaraan.
PBAPP sudah memfailkan jawapan terhadap pembelaan Impian Mawar serta pembelaannya terhadap tuntutan balas kontraktor pada 20 Ogos 2026. PBA Holdings berkata prosiding itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap operasi harian kumpulan pada peringkat ini. - DagangNews.com






