Pearly-Thinaah tampil lebih yakin ke pusingan 16

20 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pearly-Thinaah tampil lebih yakin ke pusingan 16

PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah membuktikan usaha membina semula corak permainan mula menunjukkan hasil selepas mara ke peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India, semalam.

Gandingan No. 5 dunia berkenaan mengambil masa selama 34 minit untuk mengetepikan pasangan ke-22 dunia, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci dari Turki 21-16, 21-13 sekalipun lawan mereka itu bukan tandingan sebenar yang mampu menguji kedua-dua pemain negara terbabit.

Pearly berkata, sejak pulang daripada Terbuka Taiwan awal bulan ini, fokus dia dan Thinaah adalah membina semula corak permainan selepas mereka kehilangan rentak akibat kecederaan belakang yang dialaminya.

“Kami telah kehilangan sedikit rentak permainan semasa saya tercedera dan pergerakan saya juga agak perlahan sebelum ini. Jadi, dalam tempoh dua minggu, saya telah meningkatkan pergerakan dan juga corak permainan kami yang lebih kepada menyerang.

“Saya rasa sekarang lebih baik, walaupun hanya miliki tempoh dua minggu, kami lakukan segala yang termampu. Sekarang saya sudah bebas daripada kecederaan, jadi saya sangat gembira dapat kembali ke gelanggang bersama Thinaah,” katanya seperti dipetik Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

Menurut Pearly, sebaik pulih daripada kecederaan, dia lebih banyak menghabiskan berlatih secara individu dan di atas faktor itu, tahap agresif serta persefahaman dalam gelanggang sedikit terjejas.

Pearly-Thinaah dijangka berdepan beregu No. 13 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dari Indonesia bagi mencari tempat ke suku akhir dengan rekod pertemuan 5-1 menjadi azimat buat mereka.

Turut mengikut jejak langkah Pearly-Thinaah ialah beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang menewaskan Chen Zi Yi-Francesca Corbett dari Amerika Syarikat 21-15, 21-16 dan pasangan suami isteri itu bakal bertemu wakil China, Cheng Xing-Zhang Chi di pusingan ketiga, hari ini.

Sementara itu, nasib berbeza dialami beregu muda negara yang melakukan penampilan sulung pada Kejohanan Dunia, Ong Xin Yee-Carmen Ting apabila tunduk kepada gandingan No. 2 dunia, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dari Jepun 15-21, 15-21 dalam masa 45 minit. – UTUSAN

The post Pearly-Thinaah tampil lebih yakin ke pusingan 16 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved