
PETALING JAYA: Tersingkir awal pada Kumamoto Masters, minggu lalu menjadi ruang buat beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah menilai semula kelemahan permainan mereka sebelum kembali menemui rentak kemenangan pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong, semalam.
Gandingan No. 4 dunia itu membuktikan mereka masih memiliki keupayaan untuk bangkit apabila mara ke suku akhir selepas menyingkirkan wakil tuan rumah, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 21-9, 21-10 dalam masa 27 minit di peringkat 16 terbaik di Arena Kai Tai.
Pearly berkata, kemenangan itu sedikit sebanyak membantu mereka mendapatkan semula momentum dan keyakinan selepas tersingkir lebih awal pada kejohanan sebelumnya.
“Sudah tentu saya gembira, saya berharap kami dapat mengekalkan rentak positif ini menjelang aksi seterusnya,” katanya kepada wakil BWF selepas perlawanan berakhir, semalam.
Mengulas mengenai persembahan mereka, Pearly berpuas hati dengan corak permainan ditampilkan khususnya dari segi pergerakan dan pertukaran posisi di gelanggang selain aspek serangan serta pertahanan.
Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu mengakui masih terdapat ruang untuk mereka memperkemaskan permainan sebelum berdepan cabaran lebih getir pada pusingan seterusnya.
Sementara itu, Thinaah pula memberitahu, kekalahan lalu memberi peluang kepada mereka untuk berbincang secara terbuka mengenai kelemahan serta perkara yang perlu diperbaiki bagi menghadapi cabaran di Hong Kong.
“Kami banyak berbincang selepas perlawanan minggu lalu mengenai perasaan masing-masing dan bagaimana kami mahu bergerak ke hadapan di Hong Kong. Mujur kami sependapat dan saya fikir perkara itu banyak membantu kami,” ujarnya.
Pearly-Thinaah yang pernah menjuarai Terbuka Hong Kong pada 2024 akan berdepan wakil Amerika Syarikat (AS), Lauren Lam-Allison Quynh Lee bagi perebutan tiket ke separuh akhir.
Turut mara ke suku akhir adalah tiga lagi wakil Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan. – UTUSAN
KAPSYEN
PEARLY TAN-M.THINAAH
The post Pearly-Thinaah temui semula sentuhan berbisa appeared first on Utusan Malaysia.





