Pekerja jumpa emas bernilai RM35 juta

17 Aug 2026 • 11:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pekerja jumpa emas bernilai RM35 juta

BRUSSELS: Seorang pekerja yang sedang menjalankan kerja pengubahsuaian sebuah ruang bawah tanah di sebuah bangunan di Belgium menemukan harta karun emas tersembunyi yang dianggarkan bernilai £7.5 juta (RM35.45 juta).

Harta karun itu ditemukan ketika sebuah syarikat menjalankan kerja di sebuah bekas kilang bir di bandar Sint-Gillis-Dendermonde, kira-kira 40 minit perjalanan dari Brussels, pada pagi Selasa.

Harta tersebut disembunyi­kan di dalam dinding dan mengandungi jongkong emas, ketulan emas serta timbunan syiling.

Tidak diketahui dengan tepat bagaimana harta karun itu disimpan di dalam dinding. Beberapa laporan menyebut ia berada di dalam peti. Laporan lain menyatakan ia dibalut dengan plastik.

Seorang pelajar berusia 18 tahun yang bekerja sambilan bernama Kobe menemukan harta tersebut ketika dia dan seorang rakannya sedang menjalankan kerja pemasangan paip kumbahan kira-kira jam 8.15 pagi waktu tempatan.

Ketika mengorek bahagian dinding, dia pada mulanya me­nemukan syiling. Pada mula­nya, beliau menyangka  ia hanya syiling €1 (RM4.72) biasa. Namun, selepas menemukan ketulan dan jongkong emas, Kobe menyedari bahawa beliau telah menemukan sesuatu yang jauh lebih berharga.

Selepas menemuikan harta tersebut, pihak kontraktor ter­babit segera menghubungi pe­langgan mereka, sebuah badan kebajikan bernama CAW Oost-Vlaanderen, dan pihak polis.

Harta tersebut kemudian dipindahkan ke peti besi ber­keselamatan tinggi milik kerajaan Belgium.

Polis kini menyiasat asal-usul harta itu  kerana tidak diketahui bagaimana ia boleh berada di dalam bangunan tersebut. Kebanyakan jongkong emas itu dipercayai mempunyai cap tahun sekitar 1957 dan 1961.

Ketua polis tempatan, Patrick Feys, berkata, penduduk tempatan berpusu-pusu ke lokasi ber­kenaan selepas berita mengenai penemuan harta itu tersebar.

Beliau menggesa mereka yang mungkin mahu mencari har­ta lain supaya menjauhi lokasi tersebut. – AGENSI

The post Pekerja jumpa emas bernilai RM35 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved