
KANGAR: Seorang pekerja kilang mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan dan mencuri wang tunai milik seorang pembantu pustakawan, Rabu lepas.
Tertuduh, Ahmad Zawawi Ahmad Taufek, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.
Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Zawawi didakwa telah melakukan perbuatan dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seorang pembantu pustakawan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Perpustakaan Desa Padang Siding, Arau, pada Rabu lalu sekitar pukul 12.06 tengah hari.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Kaseksaan dan jika sabit salah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh lima tahun atau denda atau keduanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah mencuri wang tunai bernilai RM390 dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat simpan harta.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukaman penjara yang boleh sampai selama tempoh 10 tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala tertuduh diwakili peguam, Afida Nurizzatie Abdul Lateh.
Semasa prosiding, peguam tertuduh memohon mahkamah dapat mengenakan hukuman minimum yang berjalan serentak memandangkan anak guamnya telah membuat pengakuan salah dan menjimatkan masa serta kos pihak-pihak.
Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon agar mahkamah dapat mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan bagi pertuduhan pertama manakala hukuman penjara enam bulan lagi bagi pertuduhan kedua pula akan berjalan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman pertama.-UTUSAN
The post Pekerja kilang dipenjara 12 bulan lakukan perbuatan aib ke atas pembantu pustakawan appeared first on Utusan Malaysia.





