amree18/08/2026 - 12:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos — Nilai pelaburan kumulatif Kerjaya Prospek Group Berhad dalam ES Sunlogy Berhad bagi pegangan 31% masih berada pada diskaun 33% berbanding permodalan pasaran syarikat itu.
Menurut analisis Apex Securities, keadaan itu menunjukkan kumpulan pembinaan berkenaan memperoleh kepentingan tersebut pada penilaian yang sebenarnya lebih rendah daripada harga pasaran semasa.
Ia merujuk subsidiari kumpulan itu, Acumen Marketing Sdn Bhd membeli 2.73% saham ES Sunlogy pada RM0.255 sesaham dengan nilai RM5.36 juta, dan meningkatkan pegangan daripada 28.27% kepada 31%.
"Dengan jumlah pelaburan terkumpul RM64.31 juta bagi 31% kepentingan, transaksi ini menunjukkan nilai ekuiti sekitar RM207.5 juta, berbanding permodalan pasaran kira-kira RM308 juta," jelasnya.
Ujar Apex Securities, perbezaan itu bermakna nilai pemerolehan berada 32.63% lebih rendah daripada penilaian pasaran semasa ES Sunlogy, menjadikan transaksi tersebut menarik dari sudut penilaian.
Pembelian terbaharu itu dibuat pada diskaun lebih besar iaitu 36.15% berbanding harga pasaran, menjadikannya potongan paling tinggi antara tiga peringkat pembelian dilakukan Kerjaya Prospek.

Dari perspektif keuntungan, pelaburan ini mengimplikasikan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 22.3 kali berasaskan keuntungan bersih tahunan 9 bulan FY26 ES Sunlogy sebanyak RM9.3 juta.
"Berdasarkan nilai buku, harga pemerolehan RM0.255 sesaham bersamaan 1.49 kali nilai aset bersih sesaham ES Sunlogy iaitu RM0.171, berbanding 2.34 kali berdasarkan harga pasaran RM0.40," katanya.
Ini mencerminkan diskaun sekitar 36.32%, dan Apex Securities berpandangan penilaian pemerolehan tersebut adalah wajar, manakala peningkatan pegangan turut memberi pendedahan yang lebih besar.
Antaranya kepada kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) serta tenaga boleh diperbaharui (RE), dengan dari sudut strategik, kepentingan lebih besar dalam ES Sunlogy memberi potensi secara luas.
Kumpulan itu katanya, mampu memperkukuh kerjasama bagi projek M&E dan solar menerusi pelbagai projek pembinaan, termasuk peluang berkaitan infrastruktur pusat data (DC) semakin berkembang.
"Namun, kami mengingatkan pegangan Kerjaya Prospek kini semakin menghampiri paras lebih 33%, iaitu ambang yang perlu dipantau jika syarikat meneruskan pembelian saham pada kadar sama," jelasnya.
Ia boleh mencetuskan kewajipan tawaran am mandatori, tetapi dari aspek kewangan, pelaburan terkini RM5.36 juta hanya mewakili sekitar 2.3% daripada anggaran tunai FY26 sebanyak RM233.7 juta.
Justeru, Apex Securities mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM3.38 terhadap Kerjaya Prospek berdasarkan PE 15 kali kepada unjuran pendapatan sesaham FY27 sebanyak 22.5 sen. - DagangNews.com





