Pelajar maut di sekolah: Tiada kompromi terhadap buli, jenayah di sekolah - Exco

LocalPolitics
4 Oct 2026 • 8:34 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelajar maut di sekolah: Tiada kompromi terhadap buli, jenayah di sekolah - Exco
Irene Sofiya (gambar kecil) ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli, keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah, tegas Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali.

Penegasan itu dibuat susulan insiden kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool, 16, yang ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, pada Sabtu.

Beliau berkata, bagaimanapun, sama ada kejadian berkenaan mempunyai unsur buli, keganasan atau perlakuan jenayah perlu ditentukan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa dan bukannya spekulasi.

"Saya ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli, keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah.

"Namun, sama ada insiden ini mempunyai unsur-unsur berkenaan hendaklah ditentukan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa dan bukannya melalui spekulasi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti fakta serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian pelajar berkenaan.

Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat telah diminta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan.

Katanya, kedua-dua agensi berkenaan turut diminta memberikan sokongan yang diperlukan kepada keluarga mangsa serta komuniti sekolah yang terkesan dengan kejadian itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar ditemui maut di sekolah disyaki dibunuh

Beliau berkata, sekolah sepatutnya kekal sebagai tempat selamat untuk setiap anak Johor menimba ilmu, membina masa depan dan berada dalam persekitaran yang melindungi keselamatan serta kesejahteraan mereka.

Sehubungan itu, kerajaan negeri bersama JPNJ dan agensi berkaitan akan terus memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan di institusi pendidikan serta mengambil tindakan susulan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.

Beliau turut mengingatkan orang awam dan pengguna media sosial supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat kesimpulan awal yang boleh mengganggu proses siasatan.

Dalam masa sama, beliau merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas kehilangan yang amat menyedihkan itu.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved