
PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menuntut tindakan segera dan tegas dilakukan susulan kematian seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Kuala Pilah, yang didakwa menjadi mangsa buli.
Asyraf Wajdi berkata, beliau amat terkesan dengan kejadian yang menimpa Muhammad Idlan Fareeq Shahril, malam tadi.
“Pagi ini amat sedih dan terkesan dengan berita kematian Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril, pelajar SMK Za’ba, Kuala Pilah, yang didakwa menjadi mangsa buli.
“Wajib disiasat segera, telus dan ambil tindakan tegas!,” katanya menerusi media sosial, sebentar tadi.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, seorang pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah ditemukan tidak sedarkan diri dalam kawasan asrama sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), malam tadi.
Sumber berkata, mangsa yang merupakan anak sulung dari tiga beradik berasal dari Gemencheh, didakwa meninggal dunia disebabkan buli.
“Itu berdasarkan maklumat yang saya peroleh, mangsa ditemukan pengsan di asrama, lalu kejadian itu dimaklumkan kepada warden. Pihak asrama seterusnya membawa mangsa ke wad kecemasan HTAN bagi rawatan lanjut,” katanya.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan,” kepada Kosmo, di sini, awal pagi tadi.
Seorang sepupu mangsa memaklumkan, mangsa sememangnya aktif dalam sukan dan masuk ke sekolah berkenaan susulan kecemerlangan dalam sukan bola baling. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar maut didakwa mangsa buli: Wajib siasat segera, tegas! – Asyraf Wajdi appeared first on Kosmo Online.






