
TAMPIN – Bersekolah di sekolah sukan merupakan cita-cita Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, yang ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah, sebelum disahkan meninggal dunia, malam tadi.
Rakan mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Daniel, 14, berkata, arwah sebelum ini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Dato’ Abdullah di Gemencheh dan aktif dalam bidang sukan khususnya olahraga sejak sekolah rendah.
Katanya, mangsa turut terlibat dengan kelab bola sepak di Gemencheh selain mempunyai minat mendalam dalam bidang sukan.
“Masuk sekolah sukan memang cita-cita arwah. Dia memang aktif bersukan sejak sekolah rendah, terutama dalam olahraga,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Menurut Daniel, dia terkejut apabila mendapat tahu mangsa meninggal dunia dalam kejadian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes buli.
“Saya terkejut bila tahu mangsa maut akibat kes buli. Saya harap keadilan buat arwah,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, malam tadi. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar SMK Za’ba maut: Sekolah sukan memang cita-cita mangsa appeared first on Kosmo Online.





![[VIDEO] Pelajar SMK Za’ba maut: Keluarga mahu tuntut keadilan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/Kamaruddin-1024x754.jpeg)
