Strategi penghantaran percuma Pinduoduo dari China berisiko jejaskan jualan Mr DIY, kata CGSI

LocalBusiness & Finance
22 Oct 2026 • 12:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Strategi penghantaran percuma Pinduoduo dari China berisiko jejaskan jualan Mr DIY, kata CGSI Image from: Strategi penghantaran percuma Pinduoduo dari China berisiko jejaskan jualan Mr DIY, kata CGSI liza22/10/2026 - 12:03 Cawangan MR DIY di Kota Bharu - Gambar Kamaliza Kamaruddin/DagangNews Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Okt – Persaingan daripada platform e-dagang China, Pinduoduo yang menawarkan barangan pada harga rendah dengan penghantaran percuma bagi pembelian satu barangan, menjadi antara faktor yang mempengaruhi prospek Mr DIY Group (M) Bhd, menurut CGS International Securities (CGSI).

 

Firma penyelidikan itu berkata strategi Pinduoduo itu membolehkan pengguna membeli barangan tanpa perlu mencapai jumlah perbelanjaan minimum. 

 

“Keadaan ini meningkatkan tekanan persaingan terhadap peruncit fizikal seperti Mr DIY khususnya dari segi harga dan corak perbelanjaan pengguna.

 

“Bagaimanapun, kami berpendapat strategi penghantaran percuma berkenaan mungkin sukar dikekalkan dalam jangka panjang kerana kos logistik yang tinggi, terutama bagi penghantaran barangan bernilai rendah,” kata CGSI dalam nota kajiannya

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan Pinduoduo mencatatkan nilai dagangan kasar (GMV) antara RM1.2 bilion hingga RM2.9 bilion di Malaysia pada 2026, bersamaan kira-kira 1.4% hingga 3.4% daripada pasaran e-dagang tempatan yang dianggarkan bernilai RM86 bilion.

 

Anggaran itu menunjukkan Pinduoduo masih merangkumi bahagian yang kecil dalam keseluruhan pasaran runcit Malaysia, yang bernilai kira-kira RM811.5 bilion. Namun, persaingan harga daripada platform berkenaan tetap menjadi antara perkara yang perlu diperhatikan oleh peruncit tempatan.

 

Kos penghantaran percuma jadi persoalan

CGSI menganggarkan Pinduoduo mungkin menanggung kerugian antara RM1.53 hingga RM8.22 bagi setiap barangan yang dihantar ke Malaysia, bergantung pada andaian kos dan hasil. 

 

Menurut CGSI, harga rendah Pinduoduo turut disokong model perniagaan yang mendapatkan barangan terus daripada kilang yang mengurangkan keperluan terhadap pengimport, pengedar dan premis kedai fizikal.

 

CGSI semak unjuran keuntungan Mr DIY

Mengambil kira persaingan tersebut serta kenaikan kos pekerja, CGSI mengurangkan unjuran keuntungan bersih teras Mr DIY sebanyak 8.2% bagi tahun kewangan 2027 dan 2028. Unjuran bagi tahun kewangan 2026 dikekalkan.

 

Unjuran hasil bagi tahun kewangan 2027 disemak turun 2.6% kepada RM5.714 bilion, manakala unjuran bagi tahun kewangan 2028 dikurangkan kepada RM6.2095 bilion.

 

CGSI turut mengambil kira kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 yang dianggarkan memberi kesan kira-kira 2% terhadap keuntungan bersih teras Mr DIY bagi tahun kewangan 2027.

 

Nilai pembelian pelanggan perlu dipantau

Dalam keputusan suku kedua tahun kewangan 2026, jumlah transaksi Mr DIY meningkat 7.3% tahun ke tahun, manakala bilangan kedai bertambah 7.2%. Margin kasar syarikat pula kekal pada 47.4%.

 

Bagaimanapun, nilai purata pembelian setiap transaksi menurun 3.5%. Pengurusan mengaitkan penurunan itu terutamanya dengan promosi bersasar, termasuk kempen harga terkunci yang berakhir pada 30 Julai 2026.

 

CGSI melihat keputusan suku ketiga tahun kewangan 2026, yang dijangka diumumkan pada November, sebagai petunjuk penting untuk menilai sama ada jumlah transaksi dan nilai purata pembelian dapat kembali stabil selepas kempen berkenaan tamat.

 

Pada masa sama, cadangan Rang Undang-Undang E-Dagang yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 turut menjadi faktor yang diperhatikan. Rang undang-undang itu dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Mac 2027 dan menurut CGSI, langkah memperketat peraturan serta penguatkuasaan terhadap barangan bernilai rendah dan platform asing boleh membantu peruncit tempatan.

 

Sehubungan itu, CGSI mengekalkan saranan Tambah terhadap Mr DIY tetapi menurunkan harga sasaran kepada RM1.90 daripada RM2.09. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved