
KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Pemandu lori Black Maria milik Jabatan Imigresen (JIM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga beranak di Jalan Sultan Ismail, pagi semalam.
Mohd Akbar Zainol, 43, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, lelaki itu didakwa memandu lori Isuzu Black Maria dengan berbahaya dan telah menyebabkan kematian Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, serta dua anak perempuannya Siti Norshazlin, 24, dan Siti Darwisyah Auni, 12, di Jalan Sultan Ismail pada 1 pagi 19 Ogos.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda minimum RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan keempat, Mohd Akbar didakwa memandu kenderaan itu tanpa kecermatan serta perhatian sepatutnya sehingga menyebabkan kecederaan kepada isteri Shaik Mohd Firdaus, Nor Hayati Rozali, 55, di lokasi, masa dan pada tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 43(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 serta boleh dikenakan hukuman penjara hingga 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan terakhir, dia didakwa gagal mematuhi isyarat lalu lintas dengan melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Jalan Sultan Ismail pada masa serta tarikh sama dan dituduh mengikut Seksyen 79(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda antara RM300 hingga RM2,000.
Timbalan Pendakwa Raya Syajaratudur Abd Rahman mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Izzat Amir Saharudin memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya mempunyai anak yang bersekolah dan menanggung ibu yang uzur.
Beliau berkata Mohd Akbar telah berkhidmat selama 11 tahun di JIM dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau serta tidak berisiko melarikan diri.
“Tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadiran ke mahkamah dan dia belum didapati bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Anak guam akan memberikan kerjasama yang baik dan hadir ke mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.
Aliaa membenarkan jaminan RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai serta menetapkan 27 Oktober untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.
Semalam, tiga pejalan kaki daripada satu keluarga maut manakala seorang lagi parah selepas dirempuh lori Black Maria JIM yang dalam perjalanan menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tanpa muatan yang sedang dalam perjalanan menuju ke Chow Kit dipandu masuk ke persimpangan ketika lampu isyarat berwarna merah dengan lampu suar (beacon) serta siren diaktifkan.
Kenderaan tugas rasmi itu kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh mangsa serta sebuah kereta Inokom Matrix.





