
KUALA LUMPUR - Pemandu lori ‘Black Maria’ milik Jabatan Imigresen Malaysia yang terlibat dalam kemalangan maut di lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini, telah digantung tugas.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu diambil bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa, malah jabatan turut membuka siasatan dalaman bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
“Langkah segera yang diambil jabatan ialah menggantung tugas pemandu berkenaan sehingga kes ini diselesaikan.
"Kami memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan ini. Jabatan Imigresen juga menjalankan siasatan dalaman berhubung pematuhan SOP,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi semalam, tiga sekeluarga maut selepas dilanggar lori Isuzu ‘Black Maria’ milik Jabatan Imigresen di persimpangan berkenaan.
Mangsa ialah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, serta dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisya Auni, 12.
Ketiga-tiga mangsa dilaporkan sedang berjalan bersama ahli keluarga lain sebelum dirempuh lori berkenaan yang dipercayai hilang kawalan ketika melalui persimpangan terbabit.
Lori berkenaan yang tidak membawa tahanan sedang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit selepas selesai menyertai operasi membanteras pendatang asing tanpa izin.
Siasatan awal polis mendapati, lori itu dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat bagi laluannya masih merah, walaupun lampu beacon dan sirennya sedang diaktifkan.
Pada masa sama, sebuah Proton Saga dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak lurus melalui persimpangan selepas mendapat lampu hijau.
Proton Saga itu tidak sempat mengelak lori terbabit sebelum kedua-dua kenderaan bertembung di tengah-tengah persimpangan.
Akibat pelanggaran, lori Imigresen berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh empat pejalan kaki daripada keluarga sama serta sebuah kereta Inokom Matrix yang sedang berhenti di lampu isyarat.
Shaik Mohd Firdaus, Siti Nor Sazlin dan Siti Darwisya Auni disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Isteri Shaik Mohd Firdaus yang berusia 55 tahun, turut cedera pada kepala, tangan serta kaki dan sedang dirawat di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.
Sementara itu, seorang saksi kejadian tampil menyatakan kesediaannya untuk memberikan keterangan kepada polis sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan.
Faiz Hussamuddin berkata, beliau berada di persimpangan berkenaan ketika dalam perjalanan pulang dari Bukit Bintang dengan menaiki motosikal apabila kemalangan berlaku.
“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan pulang dari Bukit Bintang dengan menaiki motosikal. Saya berada di lampu isyarat manakala lori Imigresen berada di seberang.
“Lori Imigresen itu menghidupkan siren ketika kejadian dan kenderaan di laluannya memberikan laluan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Menurut Faiz, beliau menyaksikan sendiri perlanggaran itu sebelum membantu mangsa selepas kejadian.
“Saya rasa trauma kerana melihat kejadian itu berlaku betul-betul di depan mata dan melihat keadaan mangsa yang sudah lemah.
“Jadi, saya bersedia. Jika polis mahu mengambil keterangan saya, tiada masalah,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti keadaan serta punca yang membawa kepada kemalangan itu.
Pihak penyiasat turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengesan saksi bebas dan menghantar kenderaan yang terlibat untuk pemeriksaan serta siasatan lanjut. - Getaran, 20 Ogos 2026





