Pemandu lori disangka tidur di lampu isyarat rupanya sudah meninggal dunia

20 Aug 2026 • 12:07 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pemandu lori disangka tidur di lampu isyarat rupanya sudah meninggal dunia

SHAH ALAM, 20 OGOS: Seorang pemandu lori tangki yang pada awalnya disangka tertidur ketika berhenti di lampu isyarat berhadapan Kilang Lam Research di Kulim semalam, rupanya sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Syamsul Sinring berkata pihaknya menerima panggilan daripada NG 999 yang memaklumkan seorang pemandu lori tangki berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Beliau berkata ketika polis tiba di lokasi, mangsa berusia 62 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam lori tangki berkenaan ketika kenderaan itu berhenti di lampu isyarat.

“Hasil temu bual dengan pengguna jalan raya yang berada di kawasan itu memaklumkan pemandu lori itu tidak sedarkan diri dan berkemungkinan tertidur ketika menunggu lampu isyarat.

“Pemaklum telah keluar dari kenderaannya dan terus menghampiri lori terbabit untuk mengejutkan pemandu lori itu daripada ‘tidur’ tetapi mangsa tetap tidak bangun,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Syamsul berkata pemaklum turut memberitahu lori tangki terbabit berada di lokasi kira-kira 30 minit sebelum dia menghampiri kenderaan berkenaan dan kemudian menghubungi ambulans.

Menurutnya, pegawai perubatan Hospital Kulim yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia, manakala anak lelaki mangsa memaklumkan bapanya mempunyai sejarah penyakit kronik iaitu darah tinggi dan kolesterol.

“Hasil pemeriksaan fizikal luaran mayat oleh anggota Balai Polis Kulim Hi-Tech mendapati tiada unsur jenayah yang dikesan pada tubuh,” katanya.

Syamsul berkata mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan sakit jantung.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved