
SEBERANG PERAI – Pemandu lori merekodkan jumlah tertinggi dikesan menggunakan dadah menerusi operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sepanjang tahun ini, dengan keseluruhan 38 kes penggunaan bahan terlarang dikenal pasti.
Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, selain pemandu lori, kes turut melibatkan pemandu kenderaan persendirian dan pemandu bas.
Menurutnya, tiga kes terbaharu dikesan dalam operasi bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Stesen Penguatkuasa JPJ Valdor, malam tadi.
Tiga individu yang didapati positif dadah itu terdiri daripada pemandu bas kilang berusia 45 tahun, pemandu lori berusia 34 tahun dan penunggang motosikal berusia 38 tahun yang melalui kawasan pemeriksaan.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati pemandu bas kilang berkenaan positif syabu dan morfin, manakala pemandu lori positif morfin serta penunggang motosikal positif ganja.
“Hampir semua yang ditahan atas kesalahan menggunakan dadah ketika memandu ini memberikan alasan yang sama iaitu suka-suka atau terpengaruh dengan kawan,” katanya ketika ditemui semasa operasi berkenaan.
Zulkifly berkata, syabu atau methamphetamine merupakan antara jenis dadah yang paling banyak dikesan sepanjang operasi tahun ini, selain ganja, ketum dan morfin. -KOSMO! ONLINE
The post Pemandu lori paling ramai dikesan positif dadah appeared first on Kosmo Online.






