
TEMERLOH – Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan ngeri membabitkan 11 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) sehingga mengorbankan empat individu, termasuk tiga sekeluarga, didakwa atas empat pertuduhan membunuh hari ini.
Tertuduh, Zulkarnain Md. Noh, 52, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dalam prosiding yang berlangsung di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Prosiding terpaksa dijalankan di hospital berikutan tertuduh masih menerima rawatan dan dilaporkan tidak dapat menguruskan dirinya sendiri.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nuur Fakhiza Abu Bakar.
Mengikut pertuduhan, Zulkarnain didakwa membunuh Muhammad Nazatullah Nazmi, Nur Atiqah Sofiya Mohd. Kazwan, Muhammad Armaan Nazeef dan Seow Beng Wai.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 110.3, LPT1, Temerloh.
Kesemua empat pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan, jika tidak dihukum mati, sebatan sehingga 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Najimi Arif Nasarudin dan Anis Syakilla Zawawi.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 November depan bagi sebutan semula kes.
Dalam kejadian pada 31 Ogos lalu, sebuah treler simen dilaporkan merempuh beberapa kenderaan dalam kemalangan membabitkan keseluruhan 11 kenderaan di KM110.3 LPT1.
Tragedi itu meragut nyawa Muhammad Nazatullah bersama isterinya, Nur Atiqah Sofiya dan anak mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4.
Tiga beranak itu dilaporkan dalam perjalanan pulang selepas menyambut Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya.
Seorang lagi mangsa yang terkorban ialah penumpang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V, Seow Beng Wai, 55, manakala pemandu SUV berkenaan serta pemandu treler mengalami kecederaan parah.
The post Pemandu treler didakwa membunuh, prosiding terpaksa dibuat di hospital appeared first on MYBERITA.






