Pemansuhan AUKU buka lembaran baharu reformasi pendidikan - ABIM

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 4:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemansuhan AUKU buka lembaran baharu reformasi pendidikan - ABIM
Ahmad Fahmi berkata, persoalan hari ini bukan sekadar mengenai pemansuhan sebuah akta, tetapi tentang bentuk ekosistem pendidikan tinggi yang mahu dibina selepas AUKU.

SHAH ALAM - Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) membuka ruang pembaharuan kerangka pendidikan tinggi negara termasuk aspek kebebasan mahasiswa bersuara, memperkukuh autonomi universiti dan mengelakkan kekosongan perundangan atau ketidakpastian pentadbiran.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, persoalan hari ini bukan sekadar mengenai pemansuhan sebuah akta, tetapi tentang bentuk ekosistem pendidikan tinggi yang mahu dibina selepas AUKU.

"Mahasiswa sebagai kelompok terpelajar yang mempunyai hak, daya fikir dan tanggungjawab perlu diberikan ruang yang sewajarnya untuk bersuara, berorganisasi, berhimpun serta terlibat dalam kehidupan awam dan politik secara aman dan bertanggungjawab.

"Makna reformasi ini perlu melangkaui ruang aktivisme dan dirasakan oleh seluruh mahasiswa melalui penglibatan yang lebih bermakna dalam perkara yang menyentuh pendidikan, kebajikan dan kehidupan kampus.

"Perubahan undang-undang juga perlu disertai pembinaan budaya kampus yang menggalakkan mahasiswa berfikir, berbahas, berorganisasi dan menyumbang kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya, pada masa sama, pemansuhan AUKU tidak bermaksud menghapuskan keperluan terhadap tadbir urus universiti yang kukuh.

Menurutnya, kerangka pasca AUKU perlu menyeimbangkan kebebasan mahasiswa dan akademik dengan autonomi institusi, integriti, akauntabiliti serta kecemerlangan ilmu.

"Universiti yang merdeka bukan universiti tanpa aturan, tetapi universiti yang ditadbir dengan baik sambil menjamin percambahan ilmu dan kematangan warganya.

"Reformasi ini juga perlu dilihat dalam konteks keseluruhan kerangka perundangan pendidikan tinggi.

"ABIM berpandangan penelitian sewajarnya turut melibatkan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] dan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 [Akta 173] dengan mengambil kira kedudukan dan kekhususan setiap institusi," katanya.

Ujarnya, prinsip kebebasan akademik dan hak mahasiswa perlu diberikan perhatian secara adil dalam keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi negara.

Justeru, ABIM menggesa agar kerangka pasca AUKU dibangunkan secara cermat melalui libat urus menyeluruh bersama mahasiswa, ahli akademik, pentadbir universiti dan pemegang taruh berkaitan.

"Reformasi ini bukan sekadar menggantikan sebuah akta dengan undang-undang baharu, tetapi perlu menjamin kebebasan mahasiswa dan akademik, memperkukuh autonomi serta akauntabiliti universiti, dan mengelakkan kekosongan perundangan atau ketidakpastian pentadbiran.

"Bagi ABIM, kebebasan mesti berjalan seiring dengan adab, integriti ilmu dan mas’uliyyah. Cabaran selepas AUKU bukan sekadar membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa tetapi membina generasi yang mampu mengisinya dengan ilmu, keberanian intelektual, kematangan dan tanggungjawab.

"Pemansuhan AUKU harus menjadi permulaan, bukan noktah reformasi pendidikan tinggi. Kampus yang merdeka harus melahirkan jiwa yang merdeka, dipandu oleh ilmu, adab dan tanggungjawab," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved