Pemansuhan ekuiti Bumiputera 30% bagi pendidikan swasta perlu dirujuk Kabinet - Akmal

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 3:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemansuhan ekuiti Bumiputera 30% bagi pendidikan swasta perlu dirujuk Kabinet - Akmal Image from: Pemansuhan ekuiti Bumiputera 30% bagi pendidikan swasta perlu dirujuk Kabinet - Akmal hamden24/09/2026 - 15:56 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Sept – Sebarang keputusan untuk memansuhkan keperluan pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30% bagi institusi pendidikan swasta (IPS) perlu terlebih dahulu dirujuk kepada Kabinet, kata Menteri Ekonomi Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

 

Beliau berkata perkara itu perlu dikendalikan dengan teliti kerana keperluan berkenaan dibuat berdasarkan keputusan Kabinet pada 2009 dan berkait dengan komitmen berterusan kerajaan terhadap agenda pemerkasaan Bumiputera.

 

“Jadi, sebarang keputusan mengenai perkara ini adalah pendirian bersama kerajaan dan Kementerian Pendidikan perlu mendapatkan pengesahan melalui Kabinet,” katanya pada Khamis.

 

Pada 21 September, Kementerian Pendidikan berkata pihaknya tidak lagi akan mengenakan keperluan minimum pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30% terhadap syarikat sendirian berhad yang mengendalikan IPS.

 

Kementerian itu berkata pelarasan berkenaan dibuat susulan perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan bertujuan memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan, di samping memastikan penyertaan terbuka kepada semua pihak yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan.

 

Bagaimanapun, MITI kemudiannya berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai pelarasan tersebut, selain menjelaskan bahawa perkara berkaitan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.

 

Sementara itu, Akmal berkata kerajaan kekal komited terhadap agenda Bumiputera menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (Putera35), khususnya dalam memperkukuh keupayaan segmen Bumiputera.

 

Beliau berkata agenda itu tidak seharusnya dilihat hanya daripada perspektif kepentingan Bumiputera, sebaliknya turut mengambil kira usaha memperkukuh kekuatan ekonomi negara secara keseluruhan.

 

Katanya, pemerkasaan Bumiputera perlu mengambil kira kesannya terhadap ekosistem ekonomi yang lebih luas.

 

“Seperti yang dinyatakan dalam Putera35, pemerkasaan Bumiputera perlu dilihat sebagai sesuatu yang mampu memacu kekuatan ekonomi bersama, bukannya dilihat dalam konteks yang sempit.

 

“Pada masa sama, ia tidak boleh menjadi beban atau membawa kesan yang tidak diingini terhadap pembangunan dan keseluruhan aktiviti ekonomi,” katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved