Keputusan syarat ekuiti 30 peratus Bumiputera dibuat Kabinet pada 2009

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 1:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Keputusan syarat ekuiti 30 peratus Bumiputera dibuat Kabinet pada 2009
Akmal Nasrullah

GEORGE TOWN - Sebarang keputusan berkaitan pemansuhan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi institusi pendidikan swasta (IPS) perlu terlebih dahulu melalui Kabinet kerana perkara itu membabitkan keputusan kerajaan secara bersama sejak 2009.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, isu berkenaan perlu ditangani secara cermat memandangkan ia berkait rapat dengan agenda pemerkasaan Bumiputera yang kekal menjadi komitmen kerajaan.

“Daripada segi komitmen berkenaan agenda Bumiputera, kita dapat lihat bahawa ini komitmen berterusan. Seperti yang dinyatakan, keputusan itu berpandukan kepada keputusan Kabinet tahun 2009.

"Jadi sebab itu, dalam isu ini, apa-apa keputusan itu adalah pendirian kerajaan secara bersama yang mana sudah pasti perkara ini Kementerian Pendidikan perlu mendapatkan kepastian melalui Kabinet juga,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis KL20 Penang 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan kepada syarikat sendirian berhad yang mengendalikan IPS di bawah kementerian itu.

KPM berkata, keputusan itu dipersetujui selepas sesi perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurut kementerian itu, pihaknya mengambil maklum pandangan berhubung syarat pemilikan ekuiti Bumiputera bagi IPS tertentu yang dimiliki melalui syarikat sendirian berhad seperti dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS yang diterbitkan pada 2006.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan kekal komited mengangkat agenda Bumiputera menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (Putera35) khususnya dalam usaha memperkukuh keupayaan segmen Bumiputera.

Katanya, agenda berkenaan bukan sekadar memberi tumpuan kepada kepentingan Bumiputera secara terasing sebaliknya perlu dilihat dalam konteks memperkukuh kekuatan ekonomi negara secara bersama.

“Agenda Bumiputera itu memang kita angkat melalui Putera35 dalam kita melihat bagaimana keupayaan segmen Bumiputera ini dapat diperkasakan.

"Pada masa sama, ia tidak boleh menjadi beban atau mempunyai kesan tidak diingini daripada segi pembangunan dan pergerakan ekonomi secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkasakan Bumiputera perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kesan terhadap keseluruhan ekosistem ekonomi negara.

“Seperti mana yang kita nyatakan dalam Putera35, pemerkasaan Bumiputera itu seharusnya dilihat dapat memacu kekuatan ekonomi bersama, bukan dilihat daripada konteks yang agak kecil,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa keputusan berkaitan syarat berkenaan dibuat sejak 2009 namun isu tersebut kembali mendapat perhatian pada masa kini.

Katanya, kebimbangan yang timbul susulan perkara itu perlu diuruskan dengan berhati-hati bagi memastikan perbincangan mengenainya tidak membawa kepada tafsiran yang tidak produktif.

“Keputusan sejak 2009. Jadi perkara ini walaupun hanya baru diketengahkan hari ini, sudah pasti daripada segi kekhuatiran, kebimbangan itu perlu diuruskan dengan cermat untuk mengelak daripada telahan yang tidak produktif,” katanya.

.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved